TERKINI
Mail Instagram Pinterest RSS
Mega Menu
  • Anything

    These are widget areas. You can put anything you want in here.

    Mail Instagram Pinterest RSS

Nikah Muda vs Ibu Bapa

Assalammualaikum wbt ustaz.saya anis berumur 22tahun,saya dapat email ustaz dari sorg rakan saya. saya ada beberapa permasalahan dan soalan yg nk sy kongsiakn dgn ustaz.. Saya pelajar tahun akhir insyaallah , bulan 9 nnti sy akan mula praktikal dan kalau ada rezeki,insyaallah saya akan mula bekerja tahun depan. saya merancang untuk bernikah.

Memandangkan saya dan pasangan tidak mahu berlengah2 bimbang perkara tak elok berlaku. masalah yg utama ialah keluarga saya tidak bersedia melepaskan saya memndangakn sya yg sulung dan masih belum tamat pengajian. saya dan pasangan merancang untuk bernikah pada waktu saya praktikal memandangkan kami sama2 akan praktikal pd waktu yg sama dan insyaaallah akan menamatkan pengajian.

Kami bercadang untuk nikah gantung/ khitbah, mndahulukan yg wajib memandgkn kmi msih tdak mmpunyai wang yg mncukupi. tambahan lg, keluarga sy mementingkn adat di mana perlu mengadakan majlis kenduri dan persandingan dripda mendahulukn yg wajib sperti nikah. saya runsing memikirkan bagaimana cara untk sy meyakinkn kedua ibu bapa saya supya mmberi kpercayaan untk sy hdup bekeluarga.. juga menerangkn niat sy untk mndirikan rumah tgga,.. krna sy tidak bgitu rapat dgn kdua ibu bapa saya dn amat payh untk mmbncangkan hal yg peribadi dan pnting sebegini..

Sy tidak tahu bgaimana cara yg sesuai untk sy luahkan pd ibubapa saya,niat saya untk bernikah.. sy rasakan itu perkara yg baik,namun bila memikirkn emak sy yg lbh memikirkan ckap2 org mmbuatkan sy runsing.. mnakala bapa sy tidak bgitu terbuka untk membncgkn hal ini.. ape pndapat ustaz untk sy yakinkn kdua ibu bapa sy dan mereka yakin saya mmpu mnjalnkan tnggunjwab sbgai istri yg solehah apbila bekeluarga kelak..

Dan 1 lg, sy ingin memnta pndangan ustaz berapakah jumlah belanja majlis nikah yg dianjurkan.. adekah RM5k/RM6k ckup untuk majis nikah shaja termsuk upah jurunikah, jmuan mkn, dsbgainya? minta ustaz berikn pndangn untk permasalahan sy.. terima kasih tak terhingga ustaz dari saya..

JAWAPAN
Waalaikumusalam wbt

Saya memang tak nafikan ramai anak-anak muda tersekat di titik ini. Mereka lebih kenal ibu bapa mereka, jadi apabila mereka menjangkakan hasrat murni mereka untuk bernikah akan dihalang, maka awal-awal lagi niat tersebut dipadamkan.

Saya sendiri bingung hendak memulakan dari mana.

Oklah, kita mulakan begini. Bab halangan ibu bapa ni, boleh dikatakan 90% anak remaja yang hendak bernikah akan mendepaninya. Nak kahwin, tak boleh. Nak kahwin, belajar dulu.Nak kahwin, muda lagi, tunggu nanti habis belajar. Nak kahwin, dah gatal sangat ke? Ini semua adalah rencah perisanya. Berbanding 10% atau mungkin kurang, yang ketika hasrat itu diluahkan, ibu bapa terus menerima dan membantunya untuk berkahwin.

Jadi halangan ibu bapa ini sebenarnya normal saja.

Antara alasan yang biasa kita dengar adalah :

■ Kamu masih muda, buat apa sibuk fikir pasal kahwin. Bina kemampuan dulu, kerja, kumpul duit.
■ Kamu masih belajar, fokus pada belajar. Nanti bila kahwin, tanggungjawab keluarga lagi, mampu ke kamu nak terus belajar? Silap-silap gagal dalam pelajaran.
■ Kamu belajar pun mak ayah yang bagi duit. Kamu nak kawin, siapa nak tanggung anak bini nanti? Nak bagi dorang makan pasir?
■ Mak ayah ni teringin sangat nak tengok kamu berjaya dalam bidang kamu ni. Biarlah tercapai dulu hasrat mak ayah ni. Jangan dilayan bisikan jiwa yang bukan-bukan.

Banyak lagilah. Samada nadanya keras atau memujuk, isinya sama. Tidak membenarkan anaknya berkahwin di usia muda atau waktu masih belajar. Tapi kalau kita tengok balik, alasan-alasan ibu bapa untuk menghalang itu ada benarnya. Sebab itu tajuk ini bukan mengajak untuk berperang, tapi mengajak untuk berfikir.

Alasan seumpama sumber ekonomi, pelajaran dan kemampuan menunaikan tanggungjawab memang ada betulnya dalam bab ‘tak bagi kahwin’ ini. Jadi tugas anak-anak adalah mengerti kebimbangan ibu bapa terlebih dahulu. Memahami sebelum minta difahami. Jangan cepat terpengaruh dengan sentimen dan emosi.

Ramai benar anak muda bersikap demikian bila hasrat mereka ditentang, maka bagaimana nak yakinkan ibu bapa sendiri yang diri mereka sudah cukup ‘matang’ ?

PENDEKATAN

Saya lebih bersetuju dengan pendekatan berperingkat-peringkat. Satu level ke satu level. Sebelum nak melenting, gunakan pendekatan bersabar dulu. Sebelum nak melawan, gunakan pendekatan berkompromi terlebih dahulu. Bab inilah yang ramai anak muda tak sanggup buat. Kalau dia kata ‘nak kahwin’ kat mak ayah, kemudian tiba-tiba reaksi mak ayahnya cukup tegas tidak membenarkan dia kahwin lagi, maka dunia dirasakan sudah gelap.

Tiada lagi cahaya dan harapan. Justeru dirinya dikuasai emosi. Sabar dulu.

Saya ingat, cara yang sama juga dinasihatkan oleh Ustaz Azhar Idrus dalam satu kuliahnya. Pujuk dulu hari ini, cakap elok-elok nak kahwin. Kalau tak bagi, diam dulu.Balik cuti semester nanti, pujuk lagi sekali. Tak bagi lagi, 2 bulan kemudian pujuk lagi. Begitulah seterusnya.

Tahukah, apa sebenarnya antara kerisauan terbesar ibu bapa bila anak mudanya berbicara tentang kahwin? Kerisauan tersebut adalah anak mudanya itu terikut-ikut dengan trend, tidak ‘layak’ lagi untuk kahwin dan belum serius pun nak kahwin sedangkan masih sibuk belajar.

Jadi, berhikmahnya cara di atas adalah, apabila mereka tengok konsistennya anak mereka dengan hasrat untuk berkahwin, maka sedikit demi sedikit ia menghilangkan kerisauan awal ibu bapa, mencetus keyakinan dan seterusnya barulah mereka terbuka untuk mendengar bicara kita tentang nikah kahwin.

Kemudian, cuba yakinkan ibu bapa dengan kemampuan diri sendiri. Bernikah dalam usia yang muda, apatah lagi sedang belajar, bukan suatu yang mudah walaupun sudah ramai orang berjaya melakukannya.

Cuba tengok alasan-alasan ataupun hujah yang ibu bapa timbulkan, banyak menyentuh tentang kemampuan ekonomi, kemampuan belajar dan kemampuan mengurus keluarga. Kalau dalam bab ekonomi misalnya, perlu menyediakan ‘draf cadangan’ dari pihak kita sendiri. Hasil simpanan contohnya. Ataupun duit zakat mahupun biasiswa yang diterima.

Pokoknya, buatlah perancangan teliti dan cuba kemukakan itu sebagai sokongan hasrat kita untuk berkahwin. Kalau dalam bab cabaran belajar waktu kahwin, kita boleh bertemu dengan ramai orang yang telah berjaya melakukannya.

Pokok pangkalnya mudah, kahwin bukan halangan untuk berjaya dalam pelajaran, dan bujang bukan semestinya sukses dalam pelajaran. Pepatah melayu menyebut ; di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kalau tidak mahu, malas, tidak berminat, maka kahwin ataupun tidak, tetap juga tidak berjaya dalam pelajaran. Begitu juga dalam bab ibu bapa tidak yakin kita mampu mengemudi bahtera rumahtangga.

Apa yang perlu kita buat bukan berbahas tentang keyakinan kita, sebaliknya cuba buktikan keyakinan dengan tindakan kita. Aspek pengurusan misalnya. Adakah kita seorang yang sudah pandai berdikari ataupun masih gagal membuat urusan sendiri? Aspek membuat keputusan misalnya. Adakah kita seorang yang sudah matang dalam membuat keputusan sendiri, atau masih bergantung pada ibu bapa? Buktikan. Ibu bapa akan terus menilai kita dari masa ke semasa.

Bayangkan bagaimana ibu bapa hendak yakin dengan anak muda mereka kiranya masih merengek minta belikan gadjet itu dan ini dengan duit ibu bapa?

KEUTAMAAN

Satu perkara yang perlu diberi perhatian adalah, hasrat untuk bernikah perlu dikembarkan dengan urgensi pernikahan ke atas diri kita sendiri. Ia akan membawa kepada pelan tindakan yang berbeza-beza. Kalau hasrat untuk berkahwin, semua orang pun nak kahwin.

Tapi keperluan untuk berkahwin tidak sama, ada orang keperluannya mendesak, ada orang tidak. Senang cerita, ada orang hukum kahwin ke atasnya sudah di tahap wajib, ada orang sunat ataupun harus. Kalau keperluan berkahwin itu tidak mendesak, maka jalan ke arahnya juga janganlah mendesak. Sesuailah digunakan cara di atas.

Mungkin mengambil masa sedikit sehingga diterima. Tetapi katakan keperluan berkahwin itu cukup mendesak, di mana jika tidak berkahwin dia akan jatuh ke dalam zina ataupun maksiat, maka jalan ke arahnya mestilah lebih tegas dan nekad.

Dalam keadaan tersebut, bagi anak lelaki, restu ataupun kebenaran ibu bapa tidak boleh dijadikan alasan untuk menangguhkan pernikahan. Syaratnya, ada kemampuan. Jadi kena lihat pada diri masing-masing. Mengutamakan diri sendiri bukan bermakna untuk kejar keseronokan, tetapi untuk menyelamatkan agama dan iman.

Jangan sampai kita lebih selesa berkampung dalam maksiat, berbanding berjuang bagi mencapai taat. Ada juga sesetengah anak muda, keadaannya tidaklah sampai ke tahap wajib kahwin. Tetapi boleh dikatakan jiwanya terlalu hebat meronta-ronta untuk berkahwin. Sehingga pelajarannya terganggu, fokus pada matlamat hidupnya juga melemah. Saban waktu fikirannya terganggu dengan keinginan untuk berumahtangga.

Berikut adalah tips-tips yang boleh cuba ikuti:-

■ Anda perlulah memilikki akhlak dan sasiah rupa diri yang baik dan elok. Bukan hanya di buat-buat atau berlakon. Tunjukkan rasa hormat anda kepada ibubapa anda dan ibubapa pasangan anda.
■ Pamerkan sifat anda yang matang terutama ketika berbicara. Berani untuk berfikir dan membuat keputusan sendiri yang baik demi kepentingan bersama. Bukan hanya memikirkan diri anda seorang sahaja.
■ Sangat-sangat penting untuk anda menjaga amal ibadah anda. Pastikan solat cukup, rajin membaca Al-Quran dan berperlakuan tenang dalam apa juga situasi.
■ Matlamat anda ingin berkahwin bukanlah semata-mata kerana nafsu tetapi untuk mencari keredhaan Allah dan ingin mendekatkan diri anda lagi dengan Allah SWT.
■ Mempunyai simpanan dan pendapatan yang mencukupi. Jika anda masih belajar, anda boleh mulakan berniaga kecil-kecilan. Ataupun anda boleh bekerja secara part-time beberapa jam sehari atau di hujung minggu. Tapi pastikan ianya tidak menganggu prestasi pelajaran anda!
■ Jika anda berdua masih belajar, pastikan anda letakkan pelajaran di tangga Nombor 1. Janjikan perkara ini kepada kedua ibubapa anda. Setelah anda tamat belajar, barulah anda letakkkan rumahtangga anda di Nombor 1. InsyaAllah, jika pasangan anda seorang yang benar-benar memahami anda, pasti tiada masalah. Sama-samalah berusaha dan tahu tenggungjawab masing-masing.
■ Tanggungjawab sebagai suami-isteri perlu juga untuk anda tidak abaikan. Taat kepada suami dan berilah nafkah secukupnya kepada isteri anda.
■ Nyatakan secara spesifik kepada ibubapa anda dari mana sumber kewangan anda untuk menampung kos sara-hidup ketika anda sudah berkahwin kelak.
■ Bawalah pasangan anda ke rumah anda untuk makan malam bersama dan kenalkanlah dia kepada mereka.
■ Akhir sekali berbincang lah dengan lemah-lembut dengan ibubapa anda untuk menyatakan perancangan anda untuk berkahwin. Jangan sesekali anda nyatakan dalam nada yang mendesak. Berurusan dengan orang yang lebih tua ni perlulah secara lemah-lembut dan perlahan-lahan. Mereka amat mudah terasa dan sensitif.

InsyaAllah. semoga urusan kita di permudahkan ^^.

Cuma kena ingat, kita sudah kenal ibu bapa kita 22 tahun, tapi mungkin dengan pasangan kita baru 2 tahun. Jadi utamakan ibu bapa kita, kerana mereka sememangnya inginkan yang terbaik buat kita. Bincanglah dengan kematangan =)

Berkaitan dengan mahar. Kadang-kadang si anak memahami apa yang dikehendaki dengan perkahwianan, namun niat terhenti atas keinginan ibu bapa. Macam-macam tanggapan masyarakat tentang belanja, mas kawin mahupun mahar.

Terkadang seperti menjual anak pula. Kita lupa akan hakikat diri seorang insan yang bergelar wanita. Yang mana nilainya tidak ternilai dengan RM10k, RM100k dan sebagainya.

Martabat Wanita Di Sisi Agama

Sesungguhnya nilai seorang wanita itu tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Islam meletakkan martabat seorang wanita itu terlalu tinggi. Tidak dapat dibeli dengan segala jenis harta. Mahar yang diberikan hanyalah sebagai penghargaan dan kehormatan dari pihak lelaki kapada wanita tersebut kerana sudi menjadi teman hidupnya, berjanji berkongsi suka duka bersama hingga ke akhir hayat.

Mazhab Syafie dan sebahagian ulama tidak menetapkan kadar yang terendah dalam meletakkan nilai mahar. Selagi mana mempunyai nilai ia diterima sebagai mahar. Kita kembali kepada sejarah yang mana Rasul s.a.w bertanya kepada sahabat yang ingin berkahwin berapakah mahar yang mampu diberikan kepada pihak perempuan.

Kerana apa, kerana ia mengikut kemampuan si lelaki. Seandainya ditanya kepada pihak perempuan, sudah pasti ia akan menyukarkan pihak lelaki.

Suami Akan Lakukan Yang Terbaik

Kepada kaum muslimah tidak perlulah risau, kerana bakal suami anda akan memberikan yang terbaik untuk anda. Pemberian yang lahir dengan penuh keikhlasan dalam hati lelakilah sebenarnya membawa keberkatan dan kebahagian dalam sesebuah keluarga.

Bilamana lelaki memberikan mahar yang diminta oleh pihak perempuan dalam keadaan tertekan, penuh bebanan dan sebagainya, inilah yang akan membawa kemudaratan di masa hadapan, nauzubillah min zalik.

Mungkin dengan mahar yang tinggi itu, si lelaki akan mengungkit itu dan ini di masa hadapan. "Aku bayar sampai RM11k, ingtkan serba boleh. Goreng ikan pun tak masak betul, lipat baju pun tak pandai., masak kari pun masin dan bla bla bla...." Pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku.

Pesan Rasulullah s.a.w.

Kita lupa akan pesan Nabi s.a.w yang mana nabi menyebut, "Pernikahan yang paling berkat adalah yang paling mudah perbelanjaannya." "Sesungguhnya semulia-mulia perempuan itu ialah yang paling mudah urusan maharnya." "Sebaik-baik mahar adalah yang paling mudah." "Berilah mahar sekalipun sebentuk cincin daripada besi."

Ini menunjukkan Islam tidak mahu menyusahkan umatnya dalam melaksanakan syariat kerana dengan itu akan timbul pelbagai masalah yang lain. Sedarlah kita bahawa kita perlu mengubah kembali persepsi masyarakat yang mengatakan, lagi tinggi harga mahar lagi tinggi darjat seseorang wanita. Ini salah sama sekali.

Cuma jika nak tanya saya soal berapa, 5k atau 6k. Saya tidak dapat berikan jawapan yang tepat. Cuma jangan sampai membazir ja. Buat sekadar mana lepas untuk majlis yang sederhana. Semua ibu bapa nak kan yang terbaik, tambah pula anak sulung. Cuma perkahwinan itu kita nak kan keberkatan. Jadi buatlah sekadar mana yang kita rasa mudah dan jauhkan perkara-perkara mungkar dalam majlis.

Sekian, waAllahualam.