TERKINI
Mail Instagram Pinterest RSS
Mega Menu
  • Anything

    These are widget areas. You can put anything you want in here.

    Mail Instagram Pinterest RSS

Kerana Gagak

Pada suatu petang, seorang ayah bersama anak mudanya yang baru menamatkan pengajian tinggi duduk berbual-bual di halaman sambil memerhatikan suasana di sekitar mereka. Tiba-tiba seekor burung gagak hinggap di ranting pokok berhampiran. Si ayah lalu menuding jari ke arah gagak sambil bertanya, "Nak, apakah benda itu?" "Burung gagak", jawab si anak. Si ayah mengangguk-angguk, namun sejurus kemudian sekali lagi ia mengulangi soalan yang sama. "Nak, apakah benda itu?"

Si anak menjawab lagi, "Burung gagak, ayah". Selang beberapa minit kemudian, si ayah bertanya lagi soalan yang sama. "Nak, apakah benda itu?" Si anak mula berasa pelik akan pertanyaan yang berulang kali oleh ayahnya. Ia menyangkakan ayahnya kurang mendengar jawapannya tadi lalu menjawab dengan sedikit kuat, "Itu burung gagak ayah!" Tetapi sejurus kemudian si ayah bertanya lagi soalan yang sama. Si anak merasa agak keliru dan sedikit runsing dengan soalan yang sama diulang-ulang, lalu menjawab dengan lebih kuat, "Burung Gagak!!" Si ayah terdiam seketika.



Namun tidak lama kemudian sekali lagi mengajukan soalan yang serupa hingga membuatkan si anak hilang sabar dan menjawab dengan nada yang keras melayan si ayah, "Gagak la ayah!!!! Hish....". Tetapi agak mengejutkan si anak, apabila si ayah sekali lagi membuka mulut hanya untuk bertanyakan soalan yang sama. Dan kali ini si anak benar-benar hilang sabar dan menjadi marah. "Ayah!!! Saya tak tahu samada ayah faham atau tak. Tapi dah lima kali ayah tanya soalan yang sama. Saya dah pun berikan jawapannya. Apalagi yang ayah mahu saya katakan? Itu burung gagak, burung gagak la ayah.....!!", kata si anak dengan nada yang begitu marah.

Si ayah terus bangun menuju ke dalam rumah meninggalkan si anak yang terpinga-pinga. Sebentar kemudian si ayah keluar semula dengan sesuatu di tangannya. Dia menghulurkan benda itu kepada anaknya yang masih geram tertanya-tanya. Ianya sebuah diari lama. "Cuba kamu baca apa yang pernah ayah tulis di dalam diari itu", pinta si ayah. Si anak akur dan membaca perenggan yang berikut....

15 April 1991 "Hari ini aku di halaman melayan karenah anakku yang genap berumur lima tahun. Tiba-tiba seekor gagak hinggap di pohon berhampiran. Anakku terus menunjuk ke arah gagak dan bertanya, "Ayah, apa tu?". Dan aku menjawab, "Burung gagak". Walau bagaimana pun, anakku terus bertanya soalan yang serupa dan setiap kali aku menjawab dengan jawapan yang sama. Sehingga 36 kali anakku bertanya demikian, dan demi cinta dan sayangkannya aku terus menjawab untuk memenuhi perasaan ingin tahunya. Aku berharap ianya menjadi suatu pendidikan yang berharga buatmu, anakku."

burung gagak

Setelah selesai membaca perenggan tersebut si anak mengangkat muka memandang wajah si ayah yang kelihatan sayu. Si ayah dengan perlahan bersuara, "Hari ini ayah baru bertanya kamu soalan yang sama sebanyak enam kali, dan kau telah hilang sabar serta marah."

Si anak kemudiannya memeluk ayahnya seerat-eratnya dan berkata, "Saya minta ampun ayah... minta maaf, ayah....."

Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa. -Riwayat al-Hakim