TERKINI
Mail Instagram Pinterest RSS
Mega Menu
  • Anything

    These are widget areas. You can put anything you want in here.

    Mail Instagram Pinterest RSS

Rabiulawal sudah tiba.



Assalamualaikum...sedar tidak sedar kita sudah pun masuk ke dalam bulan yang baru iaitu bulan Rabiulawal. Bulan Rabiulawal yang membawa maksud bulan bermulanya musim bunga bagi tanaman. Kalau ikut kebiasaan di Tanah Arab sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan akan mula berbunga dan seterusnya berbuah.

Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Setelah kedatangan Islam, Rasulullah saw telah mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang.

Pada zaman ini, kita mungkin sudah lupa, tidak tahu atau mungkin tidak ambil tahu, dimana banyak peristiwa penting yang dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya Islam di dalam bulan Rabiulawal ini. Di sini ana senaraikan serba sedikit berdasarkan pembacaan ana, diantaranya ialah;

1. Kelahiran junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw. Mengikut sumber-sumber ada menyatakan nabi lahir pada 12 Rabiulawal tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiulawal di setiap tahun hinggalah sekarang.

2. Perlantikan Nabi menjadi Rasul. Di bulan Rabiulawal inilah Nabi saw diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi saw berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulalah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.

3. Tarikh Hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yatsrib Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulwal dan baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.

4. Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah saw diantara tentera Islam dengan tentera kuffar. Diantara peperangan yang berlaku di bulan Rabiulawal ialah peperangan Safwan(Badar pertama), Bawat, Zi Amar(Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.

5. Rasulullah saw juga telah wafat pada hari isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah ra. dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.

6. Abu Bakar ra. menjadi khalifah pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah saidina Abu Bakar ra. di Dewan Bani Sa'idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleeh berhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkembumian jenazah Rasulullah saw yang diketuai oleh Saidina Ali ra. Ahli Bait Rasulullah saw.

7. Pembukaan Iraq, dimana tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid ra. telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman saidina Abu Bakar ra.

8. Pembukaan Baitul Muqaddis yang mana Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583H.

9. Kejatuhan Empayar kerajaan Islam Sepanyol kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.

Mungkin banyak lagi peristiwa-peristiwa yang berlaku di bulan Rabiulawal, cuma ana senaraikan 9 peristiwa penting yang perlu untuk kita tahu dan ambil tahu sebagai umat Islam. Sebenarnya setiap kali masuk sahaja bulan baru, ada yang hanya tunggu hari hahirnya sahaja dan mungkin hari lahir orang yang tersayang...tetapi kita sering terlupa bahawa usia kita semakin meningkat, masa semakin jauh, dunia semakin tua...dan kiamat sudah dekat.
Wallahualam.....