TERKINI
Mail Instagram Pinterest RSS
Mega Menu
  • Anything

    These are widget areas. You can put anything you want in here.

    Mail Instagram Pinterest RSS

Kisah ayat Kursi

Abu Hurairah r.a. pernah ditugaskan oleh Rasulullah S.A.W untuk menjaga gudang zakat di bulan Ramadhan. Tiba-tiba muncullah seseorang, lalu mencuri segenggam makanan. Namun kepintaran Hurairah memang patut dipuji, pencuri itu berhasil ditangkapnya.
“Akan aku adukan kamu kepada Rasulullah S.A.W.” Sergah Abu Hurairah.
Bukan main takut pencuri tersebut mendengar ancaman itu hingga kemudian dia pun merengek-rengek :
“Saya ini orang miskin, ahli keluarga ramai, sementara saya sangat memerlukan makanan.” Rayunya. Maka, pencuri itu pun dilepaskan. Bukankah zakat itu pada akhirnya akan diberikan kepada fakir miskin? Fikir Hurairah lagi.
Keesokan harinya, Abu Hurairah melaporkan kepada Rasulullah S.A.W. maka bertanyalah baginda;
“Apa yang dilakukan terhadap tawananmu semalam ya Abu Hurairah?”
Dia mengeluh.
“Ya Rasulullah, bahawa dia orang miskin, keluarganya banyak dan ia sangat-sangat memerlukan makanan.” Jawab Abu Hurairah r.a. lalu diterangkan pula olehnya bahawa dia kasihan kepada pencuri itu, lalu dilepaskannya.
“Bohong dia.” Kata Nabi. “Padahal nanti malam dia akan kembali.” Kerana Rasulullah berkata begitu, maka kawalan diperketatkan tetapi apa yang dikatakan Rasulullah sesungguhnya benar. Pencuri itu kembali lagi lalu diambilnya makanan seperti kelmarin dan kali ini dia pun tertangkap.
“Akanku adukan kau kepada Rasulullah S.A.W.” Ancam Abu Hurairah seperti kelmarin. Dan pencuri itupun sekali lagi meminta ampun;
“Saya orang miskin. Ahli keluarga saya ramai. Saya berjanji esok tak akan kembali lagi.” Kasihan juga rupanya Abu Hurairah r.a. dan kali ini pun dilepaskan. Pada paginya, kejadian itu dilaporkan kepada Rasulullah S.A.W dan baginda pun bertanya seperti kelmarin dan setelah mendapat jawapan yang sama, ia pun menegaskan;
“Pencuri itu bohong dan nanti malam ia akan kembali lagi.” Abu Hurairah merasa kesal. Malam itu, dengan nekad tidak mahu dibohongi lagi, Abu Hurairah memperketatkan kawalannya. Dia berazam tidak akan melepaskan pencuri itu pada kali ini.
Benar seperti yang didakwa, sedang malam beranjak sepi tiba-tiba muncul sesosok bayangan yang menghampiri longgokkan makanan yang dijaga. Dia ditangkap dan melutut di hadapan Abu hurairah penuh ketakutan. Dia merayu, memberi alasan yang serupa pada Abu Hurairah. Diperhatikan benar-benar wajah pencuri itu. Ada semacam kepura-puraan pada gerak-gerinya.
“Kali ini kau pasti kuhadapkan di hadapan Rasulullah. Sudah dua kali berjanji tetapi ternyata engkau kembali jua.” Selar Abu Hurairah, tegas.
“Lepaskan saya.” Dia merayu dengan wajah kasihan. Tetapi setelah yakin bahawa Abu Hurairah tidak akan berganjak daripada keputusannya, si pencuri berkata lagi;
“Lepaskan saya, dan saya akan ajari tuan beberapa kalimat yang sangat berguna.”
“Kalimat apa itu?” Tanya Abu Hurairah dengan rasa ingin tahu.
“Bila tuan hendak tidur, bacalah ayat Kursi. Allahhu laa illaaha illaa Huwal-Haiyul Qayyuum... dan seterusnya sampai akhir ayat, maka tuan akan selalu dipelihara oleh Allah dan tak akan ada syaitan yang berani mendekati tuan sampai pagi.” Dengan ayat itu maka pencuri itupun dilepaskan pergi dan keesokan harinya, dia kembali mengadap Rasulullah dan melaporkan pengalaman luar biasanya kepada Rasulullah.
“Apa yang diperkatakan oleh tawananmu semalam?” Tanya Rasulullah sebelum sempat Abu Hurairah menceritakan apa-apa.
“Ia mengajariku beberapa kalimat yang dikatakannya sangat berguna. Katanya, kalau aku membaca ayat Kursi sebelum tidur maka aku akan sentiasa berada dalam peliharaan Allah dan tidak akan ada syaitan yang berani mendekatiku sampai pagi.” Abu Hurairah menceritakan segala apa yang diperkatakan oleh si pencuri.
Menanggapi cerita Abu Hurairah, Nabi S.A.W. berkata;
“Pencuri itu telah berkata benar, sekalipun sebenarnya ia tetap pendusta.” Kemudian Nabi bertanya pula;
“Tahukah kamu siapakah sebenarnya pencuri yang bertemu denganmu tiap malam itu?”
“Entahlah.” Jawab Abu Hurairah.
“Itulah Syaitan...”