TERKINI
Mail Instagram Pinterest RSS
Mega Menu
  • Anything

    These are widget areas. You can put anything you want in here.

    Mail Instagram Pinterest RSS

Pemegang Amanah Rasulullah

Abu Bakar as-Siddiq r.a ada menceritakan satu kisah tentang jasa seorang sahabat Rasulullah s.a.w dalam pertempuran Uhud:

“Pada waktu perang Uhud, Rasulullah s.a.w telah terkena anak panah. Panah itu mengenai rahang atas wajah baginda. Ketika itu baginda memakai tutup kepala yang diperbuat daripada besi sehingga kepingan besi penutup wajah itu menancap ke rahang beliau di dua tempat. Daripada wajah beliau, darah mengalir deras.

Aku berusaha mendekati Rasulullah s.a.w. tetapi sudah didahului oleh seorang yang berlari dari arah timur. Dia lari begitu cepat seperti kilat yang menyambar. Terus-terang, aku berasa sangat cemas pada saat itu, kalau-kalau orang yang datang itu daripada pihak lawan. Aku segera berdoa kepada Allah s.a.w, “Mudah-mudahan orang itu adalah orang yang patuh kepada Rasulullah s.a.w.

Lelaki itu berkata kepadaku tatkala tiba di tempat aku berada, yakni hampir dengan Rasulullah s.a.w yang sedang luka. Lelaki itu berkata kepadaku, “Aku memohon atas nama Allah s.w.t, hai Abu Bakar, biarkanlah aku mencabut kepingan besi ini daripada wajah Rasulullah s.a.w. Baru aku tahu bahawa lelaki itu ialah Abu Ubaidah al-Jarrah.

Abu Ubaidah menggunakan kedua-dua gigi depannya untuk mencabut besi tajam yang menancap ke dalam kedua sisi rahang Rasulullah s.a.w. Beliau terjatuh setelah mencabut besi itu, menyebabkan kedua-dua gigi atas dan gigi bawahnya tercabut. Digigitnya pula kepingan besi yang kedua dengan gigi atas dan gigi bawah yang masih tersisa. Ternyata gigi beliau tercabut lagi.

Aku dan baginda Rasulullah s.a.w. amat terharu melihat kesetiaan dan pengorbanan Abu Ubaidah r.a. Betapa kasih dan cintanya terhadap Rasulullah s.a.w sampai beliau dikenali dengan orang yang tidak bergigi lagi.”

Pernah suatu ketika utusan penduduk Najran datang menemui Rasulullah s.a.w., memohon agar diutus seseorang yang dapat mengajarkan Islam kepada penduduk Najran. Rasulullah s.a.w menjanjikan kepada mereka seraya berkata,

” Esok hari aku akan utus bersama kamu orang yang benar-benar amin, benar-benar amin, benar-benar amin.”

Orang yang disebut ‘amin’ yang diulangi sebanyak tiga kali itu ialah Abu Ubaidah r.a. Umar al-Khattab r.a. pernah mengungkapkan sesuatu tentang Abu Ubaidah r.a. berdasarkan kisah ini:

“Aku benar-benar berharap agar akulah yang dipilih oleh Rasulullah s.a.w. untuk melaksanakan tugas itu (mengajar Islam kepada penduduk Najran). Setelah kami menunaikan solat Zuhur bersama-sama, Rasulullah s.a.w. melayangkan pandangan baginda ke kiri dan ke kanan, seolah-olah sedang mencari seseorang. Aku sengaja meninggikan kepalaku agar baginda dapat melihatku. Nyata, bukan aku yang baginda cari. Rasulullah s.a.w apabila melihat Abu Ubaidah al-Jarrah, baginda terus memanggil,

“Wahai Abu Ubaidah, pergilah engkau bersama-sama dengan mereka (utusan dari Najran). Jalankan hukum dengan penuh kebenaran terhadap apa yang mereka perselisihkan.”

Aku kehairanan dengan peristiwa itu, tetapi kini aku sedar bahawa itulah kelebihan yang ada pada Abu Ubaidah r.a yang tiada pada orang lain. Rasulullah s.a.w. menyerahkan tugas yang mulia itu kepada Abu Ubaidah kerana baginda tahu bahawa beliau merupakah orang yang teguh memegang amanah!”

Dalam pertempuran ‘Dzatil Salasil’ Rasulullah mengirimkan bala tentera untuk membantu pasukan yang dipimpin ‘Amru bin Al-’Ash. Di antara perajurit itu terdapat Abu Bakar dan Umar r.huma, sedangkan komandan pasukan itu Abu Ubaidah al-Jarrah r.a. Kepercayaan Rasulullah s.a.w. terhadap Abu Ubaidah r.a membuatkan Umar r.a berkata sesuatu mengenai Abu Ubaidah r.a. menjelang wafatnya:

“Kalaulah Abu Ubaidah masih hidup, nescaya akanku pilihnya sebagai khalifah. Dan bila kelak Allah bertanya kepadaku tentang apa sebabnya, aku akan menjawab;

“Aku memilih Abu Ubaidah kerana beliau seorang pemegang amanah umat dan pemegang amanah Rasulullah s.a.w.”