TERKINI
Mail Instagram Pinterest RSS
Mega Menu
  • Anything

    These are widget areas. You can put anything you want in here.

    Mail Instagram Pinterest RSS

Antara CINTA 'faham' dengan 'kurang faham'


"Cinta bukan mengajar kita lemah, tapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri tapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan kudrat tapi membangkitkan semangat," begitulah kata-kata nukilan Hamka yang begitu mendamaikan.

Biarlah kata-kata ini menjadi pembuka bicara kerana belakangan ini masalah cinta yang tumbuh dalam kalangan ahli gerakan atau jemaah sering menjadi topik perbincangan hatta dalam tamrin pun isu itu juga yang ditimbulkan. Persoalannya berlingkar bersimpang siur. Bagaimana jika bercinta sesama ahli jamaah? Bagaimana jika bercinta dengan ahli jamaah yang lain? Bagaimana pula bercinta dengan orang yang bukan ahli jemaah atau yang dikategorikan 'kurang faham'? Anggapan yang dibuat adalah jika sesama ahli jemaah kelestarian dakwah sedikit sebanyak terjamin. Barangkali, jika tidak dengan ahli jemaah bimbang orang yang 'kurang faham' akan menyekat pula ahli jemaah ini.

Tetapi saya tertarik dengan kata-kata yang menyebut “Pendakwah ini ibarat membaiki kereta yang rosak”. Jika kita menghayati betol-betol kata-kata ini, ia seolah-olah penting bagi seorang pendakwah yang dikategorikan sebagai golongan yang ‘faham’ membimbing atau membaiki golongan yang ‘kurang faham’. Sebab sifat pendakwah yang dimaksudkan bukan membaiki kereta yang sudah baik.

Berbalik pada persoalan cinta dalam kalangan ahli jemaah tadi. Tidak tahulah sama ada kita menganggap hal ini perkara remah yang tidak perlu diperbesar-besarkan atau kita memang tidak menyedari berputiknya soal hati dan perasan ini dalam kalangan kita. Jika dahulu pergi usrah kerana hendak mencari suntikan memperbaharui semangat untuk berjuang atau ke progaram-program sebagai wasilah dakwah. Sekarang usrah dan program menjadi medan yang dianggap 'suci' untuk melepaskan rindu pada yang dicintai. Adakalanya terfikir... adakah Allah sedang mendidik kita secara kelompok? Secara jemaah kerana tiba-tiba soal cinta ini timbul tidak henti-henti.

Mungkin kita melihat hal ini sebagai perkara kecil, masalah individu tetapi kesannya pada jemaah cukup besar. Sayang sekali apabila adik-adik perempuan dan kakak-kakak kita yang dahulu kerjanya berkualiti tinggi, aktif dalam usrah dan program, mudah diajak berbincang tiba-tiba menurun kualiti kerjanya, selalu murung dan termenung. Risik-risik rupanya dia ada masalah cinta. Sayang sekali adik-adik lelaki dan abang-abang kita yang dahulunya sabar dalam mesyuarat, tenang menghadapi ketegangan, mudah memberikan pendapat yang bernas sekarang cepat melenting, selalu marah-marah, banyak berdiam dan hilang tumpuan atau selalu mengelak diri. Tanya-tanya masalah cinta juga! Lebih parah ada yang rasa 'berdosa' untuk terus menyandang gelaran da'e atas bahu mereka kerana masalah cinta sehingga berlaku keciciran ahli jemaah.

Mengenai persoalan bercinta dengan ahli jamaah yang lain, ada yang bertanyakan persoalan ini. Bagi saya penting kita memahami apa sebenar matlamat ataupun tujuan jemaah diwujudkan. Dan hari ini kita melihat semua jemaah-jemaah Islam mempunyai tujuan dan matlamat yang sama, iaitu untuk mencapai negara Islam dan pemerintahan Islam, meletakkan Quran dan sunnah sebagai asas atau pelembagaan. Cuma ada pun perbezaan cara dan usaha ke arah itu, jika ada ahli jemaah yang mempunyai hasrat dan keinginan kepada ahli jemaah yang lain, bagi saya jemaah bukan satu penghalang, bukan tembok pemisah. Dan perlu diingatkan, perlunya ada sifat terbuka dan saling menghormati antara jemaah itu sendiri. Yang menjadi persoalan lain, iaitu mengenai muslimat yang mungkin akan di rebut, jemaahnya dan jemaah suaminya. Suka untuk saya memberi pandangan, penting mengenali sifat pasangan, bagi saya jika pasangan itu ‘faham’, tidak ada masalah mengenai jemaah ini dan mungkin akan bersama-sama saling bertukar-tukar pandangan, membaiki dan menambah baik jemaah masing-masing. Ada pula kewajipan taat kepada suami di salurkan kearah kebaikan.

Ada ustaz yang menyebut, ‘selamatkan muslimat kamu’. Bila mana saya bertukar-tukar fikiran, ada satu perkara yang penting untuk saya kongsikan, iaitu ustaz saya menyebut: “ Tidakkah kamu rasa bersalah, jika muslimat yang sentiasa melakukan gerak kerja Islam di lamar dan dinikah dengan bukan ahli jemaah, dan menyebabkan dia futur dan tercicir atas sebab di halang suaminya”. Susah sebenarnya nak jawab persoalan ini, tetapi bagi saya, memang perlu ada yang selamatkan, tetapi ianya bukan kewajipan. Sebab perasaan cinta dan keterikatan hati, tidak boleh dipaksa tetapi perlu ada kerelaan dan petunjuk dari Allah.

Oleh yang demikian amat penting kewujuddan Baitul Muslim dalam kalangan kita supaya perasaan yang baik ini dapat disalurkan dengan jalan yang mulia pula. Cinta itu fitrah dan perasaan itu tidak wajar dibunuh sewenangnya apabila sudah dihidupkan oleh Allah dalam hati kita. Moga-moga dari benih yang bercambah atas nama cinta dan kerana Allah ini melahirkan generasi yang sanggup menjualkan diri untuk Islam, yang menjunjung Allah dan Rasul mengatasi segala-galanya.

Bercakap tentang Baitul Muslim amat penting definisinya, fungsinya, struktur organisasi dan pelaksanaannya dibuat dengan tepat dan terperinci. Untuk itu tidak salah rasanya sahabat kita yang telah berumahtangga menjadi moderator dan meminta petunjuk daripada abang-kakak kita di dalam Jemaah dan ibu ayah kita sendiri. Hal ini demikian kerana daripada perbincangan difahamkan bahawa ada ahli jemaah yang tarik diri, keciciran kerana tidak tahan dipadan-padankan. Semoga penulisan ini ada manfaat bersama, supaya masalah ini kita boleh selesaikan dengan mudah tanpa menjejaskan pergerakkan dan perjalanan jemaah itu sendiri.

Bak kata Hamka,
"Cinta adalah iradat Tuhan, dikirimnya ke dunia supaya tumbuh. Kalau dia terletak di atas tanah yang lekang dan tandus, tumbuhnya akan menyiksa orang lain. Kalau dia datang kepada hati yang keruh dan kepada budi yang rendah, dia akan membawa kerosakan. Tetapi jika dia hinggap kepada hati yang suci, dia akan mewariskan kemuliaan, keikhlasan dan taat kepada Ilahi." Wallahu a'lam.


p/s: sila tinggalkan comment anda..terima kasih

http://seutastasbih.blogspot.com/