TERKINI
Mail Instagram Pinterest RSS
Mega Menu
  • Anything

    These are widget areas. You can put anything you want in here.

    Mail Instagram Pinterest RSS

Telah Tiba Waktuku


Assalamualaikum. Alhamdulillah Tuan punya dunia masih memberi peluang untuk ana berkongsi, satu cerita mengenai Al Fudhail bin Iyadh, yang mungkin sahabat-sahabat sudah pernah mendengar kata-kata beliau:

"Kamu menutup pintumu dan menurunkan tabirmu dan berasa malu kepada manusia tetapi tidak malu kepada Al-Quran yang ada di dadamu dan tidak malu kepada Allah yang Maha Besar yang tidak ada sesuatu yang dapat bersembunyi dariNya."

Beliau adalah Abu 'Ali al-Fudhail bin 'Iyadh bin Mas`ud bin Bisyr at-Tamimi al-Yarbu`iy al-Khuraasaani. Beliau asalnya adalah seorang ahli maksiat yang suka merompak dan menyamun, yang kemudiannya mendapat sinar hidayah Allah apabila terkena panahan kalam Allah. Diceritakan bahawa sewaktu masih jahat, beliau pada satu malam berniat untuk mengganggu seorang perempuan. Sewaktu beliau memanjat tembok kediaman perempuan tersebut, beliau mendengar suara orang membaca al-Quran ayat 16 surah al-Hadiid yang berbunyi:-

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyu' hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Qur'an) yang diturunkan (kepada mereka)?
Ayat tersebut benar-benar masuk meresap dan menyentak sanubari Fudhail bin 'Iyadh, membuatnya terdiam di atas tembok tersebut, lalu tiba-tiba Fudhail bin Iyadh merasa lemah longlai segala sendinya dan tubuhnya gementar seraya beliau merintih kepada Allah: "Oh Tuhan, telah tiba waktuku. Telah tiba waktuku." Dia pun turun dari tembok tersebut dan berjalan pulang dengan hati bertaubat setulus-tulusnya.

Setelah bertaubat, beliau menekuni ilmu agama terutama sekali ilmu hadits di mana beliau mendengar hadits daripada jemaah muhadditsin antaranya Syaikh Sulaiman al-Taimi, Syaikh Yahya al-Anshari, Imam Ja'far ash-Shodiq, Imam 'Atho` bin as-Saib dan Imam Sufyan ats-Tsauri. Dan telah meriwayat pula daripadanya sejumlah ulama, antaranya Imam asy-Syafi`i, Imam Sufyan bin 'Uyainah, Imam Yahya al-Qaththan, Imam Ibnul Mubarak dan Imam al-Humaidi. Para ulama telah ijma` atas tsiqahnya dan kekuatannya untuk dijadikan hujjah serta atas kesholihan, kezuhudan dan kewarakannya.

Imam an-Nawawi dalam "al-Adzkar" menukilkan kalam Imam Fudhail berhubung persoalan ikhlash dan riya`. Pada halaman 36, Imam an-Nawawi rhm. menulis:-

Dan telah diriwayatkan bahawa as-Sayyid al-Jaliil Abi 'Ali al-Fudhail bin 'Iyadh r.a. berkata: " Meninggalkan amal kerana manusia adalah riya`; Dan beramal kerana manusia pula adalah satu kesyirikan; Manakala ikhlash adalah apabila Allah meng`afiatkan engkau daripada keduanya (yakni segala sesuatu dilaksanakan kerana Allah semata-mata)."
Imam yang mulia ini meninggalkan dunia yang fana pada bulan Muharram tahun 187H di Kota Makkah al-Mukarramah. Beliau telah dimaqamkan di Jannatul Ma'ala. Jika kamu merasakan Hidayah Allah itu sudah sampai, jangan kamu melengah-lengahkannya, sahutlah ia, dibimbangkan tidak lagi sampai pada masa akan datang..


p/s: sila tinggalkan comment anda..terima kasih

http://seutastasbih.blogspot.com/