TERKINI
Mail Instagram Pinterest RSS
Mega Menu
  • Anything

    These are widget areas. You can put anything you want in here.

    Mail Instagram Pinterest RSS

Ulama Umno membakar kapal sendiri



Saya tidak faham mengapakah Umno kebelakangan ini suka berkeras mengambil pandangan-pandangan agama yang bersifat perkauman dan amat konservatif. Dulu mereka lebelkan PAS demikian. Namun hari ini apabila PAS mula membuka ufuknya, melihat Islam dalam kerangka yang lebih luas, Umno pula yang cuba kembali ke zaman ortodoks tersebut. Ya, memang masih ada dalam PAS sendiri kelompok yang ‘ala ulama Umno’ hari ini, yang juga mengurung diri dengan pandangan-pandangan yang agak konservatif dan menolak keluasan ijtihad.

Namun suara pembaharuan dan keterbukaan jelas kedengaran dalam PAS. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak lagi bersendirian dengan pandangan-pandangan pembaharuannya. Pelik, sebagai pemerintah mengapa Umno menerima pandangan-pandangan yang sempit itu. Padahal pandangan-pandangan itu hanyalah tafsiran ‘kurang luas’ golongan konservatif agama, atau satu ijtihad yang boleh untuk dilihat atau dibandingkan dengan ijtihad yang lain.

Apakah kerana Umno merasakan bahawa mereka hanya mampu bernafas dalam iklim yang kurang ‘oksigen keluasan ijtihad’ atau hanya gas perkauman dan fahaman ‘sempit’ agama sahaja yang mampu menghidupkan Umno.

Atau, apakah ulama-ulama pro-Umno hanya mampu bernafas selagi parti itu dikurangkan oksigen keluasan berfikir? Atau, apakah Umno melihat rupa paras Islam dalamnya hanya mampu dilihat jika ia bersifat keras dan sokongan Melayu pun akan datang kepadanya dengan membakar isu-isu tersebut?

Dimanakah keserasian wajah 1 Malaysia Perdana Menteri dengan pendekatan Islam Umno hari ini?

Sebagai pemerintah bagi sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama, oksigen keluasan ijtihad diperlukan oleh Umno. Mengapakah Umno menerima pendapat-pendapat yang menajamkan salah faham terhadap Islam di negara ini.

Dulu Umno menolak pihak yang membangkitkan tuduhan 300 ribu orang Melayu murtad serta menuduh individu dan institusi itu dan ini sebagai pusat Kristian.

Hari ini pendapat pihak seperti tersebut diterima pakai. Bahkan beliau dijadikan perlambangan ulama pro-Umno. Atau memang Umno kini berminat dengan perdekatan yang sifatkan media antarabangsa sebagai ‘ala-ala Taliban’?

Segala tudingan Umno dahulu kepada PAS sebagai pembawa Islam sempit dan jumud, hari ini PAS hampir dapat membebaskan diri dan imejnya seumpama itu sedangkan sebaliknya Umno pula yang memakai seragam kejumudan dan kesempitan tersebut.

Menariknya, apabila ada orang yang ditahan tanpa diberikan hak perbicaraan, mereka diam! Tidakkah ini mengelirukan Islam dan bukan Islam?

Bila mana datang isu kalimah Allah. Ulama pro-Umno membakar rakyat awam dengan isu ini. Sehingga ada ulama pro-Umno yang cuba mengkafirkan orang lain dalam isu nama Allah tersebut. Tidak cukup dengan 300 ribu yang dimurtadkan dulu, ditambah pula ahli politik yang cuba dijadikan murtad baru.

Semuanya kerana tafsiran yang sempit. Padahal, isu itu boleh diselesaikan dengan adil dan saksama. Diraikan hak agama lain dan dibuat beberapa peraturan untuk ketenteraman awam. Namun, ada yang cuba bermain sentimen rakyat yang kurang faham.

Media Umno pula hanya menerang pendapat sebelah pihak. Namun sekarang apabila melihat kekalahan di Sibu yang membabitkan penduduk Kristian, Umno mula gelisah. Apakah Umno akan meminta fatwa baru dari ‘mufti’ yang setia berkhidmat itu?

Malang sekali, apabila timbul isu judi bolasepak, tidak pula mereka berani lantang dan tegas. Tidakkah ini mengelirukan? Apa tidaknya, apabila bukan Islam hendak masuk masjid dihalang, tapi apabila diberikan keizinan berjudi didiamkan!

Bila mana isu sebat tiba-tiba muncul. Dulu Umno sensitif dengan hudud. Dalam persekitaran yang ada, saya juga fikir PAS tidak perlu menegaskan isu hudud. PAS sejak dulu patut angkat isu keadilan seperti mereka lakukan sekarang.

Keadilan itulah objektif. Hudud adalah mekanisma yang boleh diselaraskan apabila keadaan wajar. Hukum yang baik untuk tempat yang sesuai. Sama seperti wanita yang baik untuk lelaki yang baik. Jika wanita yang baik dikahwinkan dengan lelaki yang jahat, kepincangan akan berlaku.

Tapi kini, tidak semena-mena tanpa mukadimah yang jelas agar rakyat faham, Umno mencanangkan isu sebat Kartika dan tiga wanita di Wilayah Persekutuan.

Menurut laporan media, mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria kata sesiapa hina hukum sebat murtad kerana ia hukum Allah. Namun, apabila Sultan Pahang batalkan hukuman, beliau berkata itu hak Sultan.

Apabila Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat kata perarakan maulid bukan galakan agama, media Umno dan ulama pro-Umno membuat ulasan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diserang. Media Umno jadikan seakan isu itu benteng Melayu-Islam di Malaysia.

Di Kelantan, lebai entah dari mana datangnya, pun menulis di Mingguan Malaysia kononnya Nik Aziz – Wahabi disebabkan isu-isu seperti ini.

Bisinglah mereka. Malangnya, media dan ulama pro-Umno tidak pula bising keruntuhan moral muda-muda Melayu-Islam saban tahun disebabkan perhimpunan pesta sambutan tahun baru yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin politik!

Inilah ulama yang pro-Umno sekarang. Apakah mereka ini dapat menarik perhatian generasi baharu Islam dan bukan Islam kepada Islam?

Banyak lagi isu lain jika hendak disebutkan yang membabitkan ulama dalam Umno.
1 Malaysia yang dicanangkan oleh Najib akan tenggelam dibakar oleh pemikiran sempit dan berkepentingan oleh sesetengah ulama Umno ini.

Malang sekali, di kala rakyat Malaysia mula bersikap terbuka, memahami Islam dari kerangkanya yang luas, menelaah ijtihad yang berbagai dan bersedia untuk berhujah secara matang, Umno memilih fatwa atau pandangan yang kian sempit dan berkepentingan.

Dunia sudah terbuka disebabkan media baru, Umno cuba kembali ke zaman selepas kemerdekaan.

PAS yang dahulunya dilihat kolot, mula dipenuhi dengan tokoh-tokoh politik Islam yang kian matang dan mampu mengadaptasi Islam dalam lakarannya yang luas. Pada masa yang sama Umno sedang kerumuni oleh sesetengah mereka yang ‘narrow-minded‘ dan melihat Islam dalam kerangka perkauman.

Bolehkah 1 Malaysia tajaan Perdana Menteri berjaya jika ini terus berlaku. Generasi muda Islam dan bukan Islam telah jauh ke hadapan meninggalkan kesempitan ini. Islam dalam kerangkanya yang lebih universal akan mengambil tempat.

Ulama Umno sebenarnya sedang membakar kapal sendiri dan menenggelamkannya. Perdana Menteri, patut menilai semula agenda 1 Malaysia!


http://seutastasbih.blogspot.com/2010/06/ulama-umno-membakar-kapal-sendiri.html