TERKINI
Mail Instagram Pinterest RSS
Mega Menu
  • Anything

    These are widget areas. You can put anything you want in here.

    Mail Instagram Pinterest RSS

PRK bakal mengoncang egois pemimpin negara - Part 2

Pilihanraya kampus (PRK) saban tahun tetap dan pasti mewarnai suasana di institusi pengajian tinggi dan juga kolej universiti di seluruh negara. Sedar atau tidak, mahu atau tidak mahu, ia juga bakal menjadi buah mulut masyarakat dan pemerhati politik tempatan.

Di celah-celah itu, ramai pihak luar yang mempertikai, mengapa para mahasiswa perlu ambil berat akan pilihanraya ini? Adakah ingin menunjukkan jaguh atau sekadar suka-suka untuk menempah nama. Yang lebih dibimbangi adakah ia sebagai alat kepada kumpulan atau parti politik tertentu yang berkepentingan?

Sebenarnya, Pilihanraya Kampus (PRK) disertai oleh para mahasiswa disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya adalah untuk menjadi pemimpin kepada pelajar itu sendiri. Kepercayaan bahawa setiap mahasiswa mempunyai kebebasan untuk memilih mana-mana calon yang dirasakan layak untuk memimpin mereka. Yang boleh menjadi pemimpin dalam menyuarakan isu kebajikan mereka, serta menyediakan pelbagai jenis program samada ilmiah atau tidak. Juga atas keperluan lain. Alasan ini paling suci dan asli (genuine) serta perlu diberikan kredit.

Selanjutnya, PRK merupakan medan demokrasi yang unggul dan tunggal yang mampu mengajar para mahasiswa erti demokrasi dan pilihanraya sebagaiman di dunia luar sana. Bermula dari pemilihan calon, hari penamaan calon, kempen, risalah-risalah, manifesto, kain rentang dan pengiraan undi,ia merupakan situasi sebenar seperti dalam pilihanraya umum. Mahasiswa yang didedahkan dengan PRK, akan mengetahui cara-cara perjalanan pilihanraya dan juga peraturan semasa piliharaya yang seterusnya. Alasan ini kebiasaannya terpacul daripada mulut-mulut peminat politik negara; dan biasanya di kalangan orang lelaki Melayu.

Gagasan demokrasi yang ditonjolkan ini dilihat boleh menyedarkan para mahasiswa bahawa setiap pangkahan mereka amat bernilai dalam mencorakkan kepimpinan pelajar. Jadi, faktor sejauhmana demokrasi dalam diri mahasiswa diaplikasikan adalah penting sebelum mahasiswa menemui dunia realiti yang lebih mencabar dan penuh dengan pancaroba dalam ilmu politik.

Selain itu, PRK juga diperkenalkan adalah kerana ingin mencari pemimpin pelajar yang boleh menjadi contoh teladan kepada masyarakat luar terutamanya muda-mudi yang mengalami krisis identiti sekarang. Perkara ini mampu merungkai dan membawa keluar kerumitan dan kegelisahan masyarakat yang dilingkari dengan masalah sosial dan jenayah dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah. Secara analisisnya, suara mahasiswa sebenarnya amat mahal dan apabila ia bersuara, pasti ada perkara yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat.

Di samping itu, dalam skop yang lebih besar, kepimpinan negara masa kini sangat memerlukan pelapis yang boleh menjadi pengganti kepada pemimpin sedia ada sekarang. Negara memerlukan tenaga dan daya pemikiran pemimpin yang baru bagi melangkah gagah menghadapi arena globalisasi dan juga hal ehwal dalaman negara kita.

Mari kita selongkari sejarah lepas. Nama-nama pemimpin pelajar seperti (Tun) Mahathir Mohamad, Zahid Hamidi, Saifuddin Abdullah, Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali, Husam Musa, Shabery Cheek, Abu Bakar Chik dan ramai lagi pemimpin yang pernah memegang tampuk pemerintahan negara, semuanya pernah diasuh sebagai pemimpin pelajar yang dilatih menggunakan demokrasi kampus dan kini berdepan dengan demokrasi negara.

Oleh yang demikian,jelas PRK bukan sekadar berseronok ketika kempen, tetapi juga mempunyai matlamat jangka panjang yang amat penting dalam pembangunan negara.