TERKINI
Mail Instagram Pinterest RSS
Mega Menu
  • Anything

    These are widget areas. You can put anything you want in here.

    Mail Instagram Pinterest RSS

Media dan pilihanraya

Media adalah komponen yang penting apabila kita membicarakan mengenai keadilan dalam pilihanraya. Tanpa media yang bersikap adil kepada semua calon atau parti politik yang bertanding, tidak mungkin sesuatu pilihanraya itu menjadi adil dan bebas.

Di dalam Deklarasi Kriteria Pilihanraya Yang Bebas dan Adil (Declaration On Criteria For Free and Fair Elections) yang dipersetujui sebulat suara oleh Inter Parliamentary Council (kini dekenali sebagai Governing Council) yang dianjurkan oleh Persatuan Parlimen Antarabangsa (Inter Parliamentary Union) dalam sesi ke 154 di Paris, Perancis pada 26 Mac 1994 ada menyatakan,

“Setiap calon pilihanraya dan semua parti politik harus mempunyai akses kepada media yang sama rata, terutamanya media komunikasi massa, untuk menyampaikan pandangan politik mereka”.

(Every candidate for election and every political party shall have an equal opportunity of access to the media, particularly the mass communications media, in order to put forward their political views.)

Parlimen Malaysia adalah ahli kepada Persatuan Parlimen Antarabangsa atau IPU. Ertinya, pada ketika itu, perwakilan daripada Malaysia tidak membantah deklarasi tersebut kerana ianya dipersetujui secara sebulat suara.

Oleh yang demikian, Malaysia perlulah mematuhi deklarasi ini untuk membenarkan semua calon atau parti politik yang bertanding dalam pilihanraya mendapat akses daripada media yang sama rata dan adil.

Media di Malaysia

Di Malaysia terdapat media yang dimiliki oleh negara dan media yang dimiliki oleh swasta. Contoh media yang dimiliki oleh negara adalah Radio Televisyen Malaysia (RTM). Manakala media yang dimiliki oleh pihak swasta pula adalah seperti TV3, NTV 7, TV9 dan Astro.

Media yang dimiliki oleh pihak swasta, bertanggungjawab kepada pemegang-pemegang saham syarikat tersebut.

Jika majoriti daripada pemegang-pemegang saham bersetuju supaya syarikat tersebut cenderung kepada sesuatu parti politik, tidak ada apa yang boleh dikatakan oleh masyarakat luar kerana masyarakat tidak mempunyai kepentingan didalam syarikat tersebut.

Contohnya jika TV3 bertindak menyokong sesuatu parti politik dalam kempen pilihanraya, tidak ada apa yang boleh dibantah oleh masyarakat oleh kerana pemegang-pemegang saham didalam syarikat tersebut “gembira” dengan tindakan media mereka untuk memihak.

Yang menjadi masalahnya adalah, lesen untuk membuka stesen televisyen tidak diberikan kepada syarikat-syarikat yang tidak sehaluan dengan pemerintah. Disinilah ketidakadilan berlaku dalam media swasta di Malaysia. Mempunyai modal yang besar untuk membuka stesen televisyen bukanlah jaminan selagi tidak mendapat lesen dari pemerintah.

Berbeza dengan media milik negara seperti RTM. RTM bertanggungjawab secara langsung kepada rakyat Malaysia oleh kerana ianya dimiliki oleh negara. Dana yang digunakan oleh RTM untuk menggendalikan operasinya datang dari wang pembayar cukai negara.

Oleh itu, RTM seharusnya memberikan laporan yang adil dan seimbang kepada parti yang memerintah dan parti pembangkang. Di dalam kempen sesuatu pilihanraya, RTM tidak boleh berat sebelah.

RTM seharusnya memberikan laporan yang seimbang mengenai calon dari parti pemerintah, parti pembangkang dan independen agar masyarakat Malaysia mempunyai maklumat yang mencukupi sebelum mereka keluar membuang undi.

Inilah yang seharusnya dilakukan oleh RTM sebagai sebuah media yang dimiliki oleh negara dan bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia. Tetapi ini tidak berlaku. RTM telah menjadi alat untuk mencernakan propaganda dan kempen daripada parti pemerintah.

Ancaman kepada media milik parti pembangkang

Baru-baru ini heboh mengenai isu akhbar-akhbar milik parti komponen Pakatan Rakyat (PR) di “ganggu” oleh KDN.

Suara Keadilan milik PKR tidak diperbaharui permitnya. Permit akhbar tersebut tidak diperbaharui berikutan dengan laporan mengenai “Felda bangkrap”.

Harakah milik PAS turut terpaksa memberi surat tunjuk sebab kepada KDN sebelum diperbaharui permitnya. Selain itu, KDN turut memberi “amaran keras” agar Harakah hanya dijual di pejabat dan markas PAS.

Selain itu, pegawai-pegawai dari KDN turut mendatangi pejabat DAP untuk meminta surat tunjuk sebab daripada parti itu berkenaan dengan penerbitan akhbar Roket milik parti tersebut.

Tindakan yang dilakukan oleh KDN tersebut dilihat sebagai satu percubaan untuk membunuh kebebasan bersuara bagi ketiga-tiga parti politik komponen PR tersebut. Tanpa akhbar-akhbar tersebut, ketiga-tiga parti tersebut tidak mempunyai medium untuk menyampaikan pandangan mereka kepada masyarakat. Apa lagi dalam keadaan media arus perdana tidak memberi ruang yang seimbang kepada mereka.

Situasi media di Malaysia pada masa kini tidak ubah seperti di Filipina di zaman pemerintahan Marcos dan Indonesia di zaman pemerintahan Soeharto. Kedua-dua diktator tersebut tidak membenarkan kebebasan akhbar sewaktu mereka memerintah.

Marcos ditumbangkan oleh kebangkitan rakyat Filipina pada tahun 1986. Soeharto pula digulingkan oleh rakyat Indonesia pada tahun 1998. Dalam erti kata lain, keadaan media di Malaysia telah ketinggalan 12 tahun dibelakang Indonesia dan 24 tahun dibelakang Filipina.

Pilihanraya umum ke 13

Pilihanraya umum (PRU) ke 13 akan datang tidak lama lagi. Ada kemungkinan hujung tahun ini, tahun depan atau dihujung 2012. Tidak ada sesiapa yang tahu bila ianya akan berlaku melainkan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Jika Najib Razak mahu pilihanraya dilaksanakan dalam masa dua minggu lagi, maka dua minggu lagilah Malaysia akan berhadapan dengan PRU 13. Pada ketika ini, kuasa untuk menentukan tarikh PRU berada di tangannya.

Yang membimbangkan adalah keadaan media di negara ini. Tidak ada tanda-tanda media di Malaysia akan dibebaskan atau sekurang-kurangnya media milik negara seperti RTM dibenarkan untuk memberikan laporan yang adil dan seimbang kepada semua pihak yang akan bertanding nanti.

Jika keadaan seperti ini berterusan, PRU yang bakal berlangsung nanti tidak akan mencapai tahap bebas dan adil mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Persatuan Parlimen Antarabangsa dalam Deklarasi Kriteria Pilihanraya Yang Bebas dan Adil pada tahun 1994 itu.

Di zaman berkembangnya internet dan laman sosial seperti Twitter dan Facebook ini, media arus perdana juga harus berevolusi. Jika tidak, kerugiaan demi kerugiaan akan terus ditanggung. Laporan-laporan berita “ala tahun 60an” sudah tidak lagi diterima pakai dan hanya akan menyebab akhbar tersebut jauh daripada masyarakat.

Mengatakan bahawa media di Malaysia bebas oleh kerana terdapat lebih daripada 200 blog yang aktif adalah kenyataan yang bodoh lagi membodohkan. Blog dan laman sesawang tidak boleh ditutup oleh pemerintah pada ketika ini oleh kerana mereka sudah terperangkap dengan perjanjian sewaktu mahu mengambangkan internet di negara ini satu ketika dahulu.