TERKINI
Mail Instagram Pinterest RSS
Mega Menu
  • Anything

    These are widget areas. You can put anything you want in here.

    Mail Instagram Pinterest RSS

Ceria Mendung

Ujian itu adalah tarbiyah hidup. Malah, dengan ujian itulah kita mengenal erti kehidupan. Ketahuilah bahawa ujian itu tanda Allah SWT menyayangi diri kita. Oleh itu, Dia menurunkan sedikit ujian agar kita tidak terus tersesat di dalam kegelapan dan alpa dengan kesenangan hidup. Ketika Dia menghulurkan cahaya kegemilangan-Nya dikala kesusahan, sambutlah ia dengan penuh mesra sambil mengucapkan alhamdulillah.

Sesungguhnya buat mereka yang bersyukur dan redha dengan apa yang ditetapkan ke atas dirinya, Allah SWT menjanjikan seribu kemanisan iman malahan dibalas pula dengan syurga. Subhanallah, sayangnya Allah SWT pada kita. Malah, Allah SWT tidak pula mengenakan apa-apa bayaran di atas semua nikmat-Nya. Sekiranya Allah SWT menetapkan harga ke atas semua nikmat-Nya, bagaimana mungkin kita mampu membayarnya.

Tahukah anda???
Ujian itu ibarat mendung yang hadir bersamanya hujan. Qalbi(hati ) pula ibarat taman bunga yang indah dihati kita. Tatkala sang mentari memancarkan sinarnya, bunga-bunga kelihatan ceria. Namun, sekiranya berlanjutan tanpa sedikit pun air, maka akan layulah bunga. Oleh itu, hadirnya mendung boleh menyuburkan bunga-bunga tersebut. Selepas mendung menamatkan tugasnya, Allah SWT turunkan pula hujan dan hiaskan taman kita dengan pelangi yang indah nan bersemi.

Begitu jugalah dengan kehidupan. Sekiranya nikmat itu berlanjutan, maka ramailah manusia yang akan lalai dan alpa. Manusia tidak akan terlepas daripada kealpaan dan kelalaian. Kerana itulah, Allah menghadirkan mendung(ujian) sebagai cahaya bagi mereka yang masih mencari kebenaran di dalam kegelapan.

Dengan ujian itulah, Allah SWT menetapkan keimanan hamba-Nya. Subhanallah.. Betapa indahnya ujian. Maka, sekiranya hadir suatu ujian, janganlah menyalahkan takdir tetapi bersyukurlah kerana Allah SWT masih lagi ingat akan diri kita dan ingin kita terus berada di atas jalan yang benar.

Firman Allah SWT yang bermaksud,

"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)" (Al-Baqarah :214)

Mengapa kita diuji?

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud,

"Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)" (Al-Mulk :2)

Walaubagaimanapun, Allah SWT amat menyintai orang-orang yang sabar menghadapi ujian-Nya.

Firman-Nya yang bermaksud,

"Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar." (Ali Imran :146)

Ujian yang diberi-Nya juga mengikut kemampuan masing-masing.

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir." (Surah Al-Baqarah :286)

Justeru, marilah sama-sama kita istiqamah diri kita tatkala ujian hadir melabuhkan tirainya dengan menyambutnya dengan redha sambil mengucapkan "Alhamdulillah".

Wallahua'lam..