salam 'alaik. Maaf ganggu ya akhi. Ana cuma nak minta pendapat. Jika ada da pilihan.yang satu baik hati,orang yang paling faham tentang diri kita selain Allah juga ummi tapi kurang agamanya. Satu lagi kita tak pasti orangnya bagaimana, apa yang pasti agamanya bagus. Yang pertama tadi sedia untuk mengkhitbah,tapi yang kedua masih tidak pasti bagaimana isi hatinya.
Ini persoalan dari seorang sahabat kepada saya. Saya cuba jawab sekadar yang mampu. Mudah-mudahan manfaat kepada kita semua.
Memang benar bahawa jodoh dan pertemuan itu takdir ketentuan Allah. Namun ketentuan ini tidak menafikan usaha dan iktiar. Masakan dapat sagu jika tidak dipecahkan ruyungnya. Pemilihan bakal suami bagi seorang wanita adalah lebih kritikal sebenarnya.
Aisyah Ra berkata, "Pernikahan hakikatnya adalah penghambaan, maka hendaknya dia melihat dimanakah kehormatannya akan diletakkan"
Nabi SAW sendiri ada memberitahu kriteria atau petua dalam pemilihan pasangan hidup?
Antara lain Nabi SAW bersabda:
"Wanita itu dikahwini kerana dengan sebab hartanya, kecantikannya, keturunannya dan keagamaannya. Hendaklah kamu pilih yang kuat agamanya, tentu akan menenangkan kedua tanganmu.“ Riwayat Bukhari Muslim dan lain-lain.
Jika tersilap pilih kerana terikutkan runtunan emosi semata-mata hingga melupakan pedoman syarak maka boleh membawa padah. Dibimbangi nanti pilihan suami tidak menyambung ke landasan utama jalan menuju syurga. Sebabnya suami sebenarnya ibarat ibusawat penghubung talian taat seorang isteri kepada Allah. Ia juga menjadi laluan turun cinta dan redha Allah SWT kepadanya.
Begitu juga bagi lelaki. Jika tersilap pilih calon isteri maka besar juga risikonya. Ini disebabkan dia dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk memimpin seisi keluarga meniti jalan ke syurga. Kesefahaman dan kerjasama penuh daripada isterinya amat diperlukan untuk menjayakan tanggungjawab besar yang dipikulnya. Jika suami gagal mendidik dan memimpin keluarga, bukan sahaja anak isteri yang terhumban ke dalam neraka, bahkan dirinya sekali terikut sama.
Kenapa agama yang menjadi keutamaan?
Di dalam al-Quran dijelaskan bahawa tujuan pernikahan adalah untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
"Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamupasangan hidup agar kamu mendapatkan ketenangan/kebahagiaan bersamanya.Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah."(Surah al-Rum, ayat 21)
Ada kalanya orang memilih pasangan kerana kecantikan dan kekayaan sehingga mereka lupa bahawa kecantikan dan harta bersifat sementara. Begitu juga dengan keturunan dan nasab tidak selamanya menjamin kebahagiaan. Oleh sebab itulah, Rasulullah menyuruh memilih pasangan kerana agama sebab kekurangan dalam rupa, harta dan nasab atau keturunan akan disempurnakan oleh agama.
Agama yang membezakan seorang manusia dengan manusia yang lain, bukan kerana keturunan dan kedudukan seperti firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling takwa."
Oleh itu, keluarga yang dibina atas dasar agama ini akan memiliki matlamat yang jelas. Bagi mereka, hidup di dunia ini hanyalah satu jalan menuju kehidupan akhirat yang abadi sehingga apa pun yang mereka lakukan dalam keluarga itu tidak keluar daripada tujuan asal untuk mencipta keluarga sakinah yang diredai Allah dan berjuang untuk menegakkan agama Allah dalam semua aspek kehidupan mereka.
Bagi saya apabila seorang lelaki ataupun wanita yang ada pegangan agama, maka sebenarnya agama itu yang mencorak hidupnya. Akhlaknya akan menjadi baik, dia akan lebih bertangungjawab, menjadi lebih tabah dan sabar. Sebab semua nilai-nilai ini di tekankan dalam agama.
Di dalam Islam, wanita ada hak untuk memilih bakal suaminya. Tanggapan bahawa wanita tiada hak memilih bakal suaminya adalah salah. Dalam hal ini Abu Hurairah ra pernah mendengar Nabi SAW bersabda:
“Seorang wanita janda tidak boleh dinikahkan sebelum ia diminta pertimbangan dan seorang gadis perawan tidak boleh dinikahkan sebelum ia diminta persetujuan.“ Riwayat Bukhari dan Muslim.
Di dalam sejarah ada banyak kisah wanita mempertahankan hak memilih suami. Antaranya ialah kisah Khansa binti Khidam yang mengadu kepada Rasulullah SAW mahu dikahwinkan oleh bapanya, pada hal dia tidak suka. Rasulullah SAW telah menolak keinginan bapa Khansa. (Riwayat Bukhari).
Dalam satu kisah lain yang diriwayatkan Bukhari, seorang bekas hamba bernama Barirah mempertahankan haknya tidak mahu berkahwin dengan Mughis meski pun disokong oleh Nabi SAW. Apabila ditanya oleh Nabi SAW, Barirah bertanya kembali: Wahai Rasulullah, apakah ini perintah buatku? Nabi SAW menjawab: Aku sekadar memberi syafaat. Lantas mendengarnya, Barirah menolak peminangan Mughis dan Rasulullah SAW menerima keputusannya.
Malah ada berlaku dalam sejarah kisah wanita yang memilih lelaki (Rasulullah SAW) dan menawarkan diri untuk jadi isteri kepada baginda. Apabila wanita itu melihat Rasulullah SAW tidak memutuskan sesuatu terhadap tawarannya itu, lantas dia duduk – (Riwayat Bukhari Muslim). Diamnya Nabi SAW bererti tindakan wanita itu tidak dihalang. Begitu juga dengan wahyu yang masih turun waktu itu.
Berbalik kepada soalan. Lelaki yang baik hati, orang yang paling faham tentang diri tapi kurang agamanya. Bagi saya perlu jelas di sini tentang istilah kurang agamanya. Kita sebagai manusia hanya boleh menilai dari luarannya belaka, tapi soal amalannya, ibadahnya, imannya hanya Allah yang tahu. Saya kira soal agama bukan di lihat berapa surah yang dihafal, berapa kitab sudah di bedahnya. Tapi nilai-nilai kebaikan pada diri itu juga agamanya.
Bagi saya kriteria yang pertama adalah keutamaan kepada yang baik agamanya. Ini diukur kepada akidahnya dan bagaimana dia beramal dengan Islam. Adakah ia menjaga solatnya, akhlaknya, dan seumpamanya. Ini adalah berdasarkan hadis ini:
“Apabila orang yang kamu redha agama dan akhlaknya datang meminang, hendaklah kamu kahwinkannya. Sekiranya kamu tidak melakukannya nescaya akan timbul fitnah dan kerosakan di atas muka bumi.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi dalam kitab nikah, (no. 1080) daripada Abu Hatim al-Munzi)
Kemudiannya, hendaklah lelaki itu yang memiliki ciri-ciri kepimpinan yang baik bagi memimpin sebuah rumahtangga dan institusi kekeluargaan.
“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka." (an-Nisa’ 4: 34)
Ini adalah bagi menjamin antaranya keselamatan, kebahagian, nafkah (kewangan), dan pengurusan yang baik. Dalam persoalan lelaki sebagai pemimpin, lelaki dilebihkan dalam beberapa hal, antaranya adalah keupayaan fizikal yang melebihi wanita, dan kebolehan untuk bergerak dalam melaksanakan kerja/tugasan di luar.
Di samping itu, lelaki/suami juga perlulah berupaya mendidik keluarganya ke arah agama dan kehidupan yang baik. Ini adalah bagi menjamin kesejahteraan dalam berumahtangga, melahirkan zuriat yang soleh-solehah serta menjamin kebaikan di akhirat kelak. Oleh itu, bagi memiliki daya kepimpinan yang baik, suami juga perlulah memiliki ilmu yang sewajarnya bagi menjamin keluarga sentiasa dalam keadaan yang aman, harmoni dan bahagia.
Di dalam firman Allah s.w.t., maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya Malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan mereka selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At-Tahrim: 6)
Di dalam ayat tersebut juga dinyatakan bahawa, suami atau seseorang individu itu bertanggungjawab untuk memastikan keluarga sentiasa dalam naungan agama yang sahih dan baik bagi menjamin keselamatan ahli keluarganya dari keburukan di akhirat.
Seterusnya, dianjurkan untuk seseorang wanita bernikah dengan lelaki yang sebaya usianya. Dan tidak digalakkan untuk seorang wanita menikah dengan seoranglelaki yang jauh lebih tua darinya atau berusia.
Diriwayatkan dari Buraidah bin al-Hushaib r.a. ia berkata: “Abu Bakar dan Umar r.a. datang meminang Fatimah r.ha..” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ia masih kecil.”
Lalu Ali r.a. datang meminang dan Rasulullah s.a.w. menikahkan Fatimah dengannya. (Diriwayatkan oleh an-Nasa’i dengan sanad yang hasan)
Dan imam an-Nasa’i juga telah meletakkan suatu bab di dalam sebuah kitabnya (as-Sunan ash-Shugra) atas tajuk “Menikahkan Wanita dengan Lelaki yang Sebaya Usia Dengannya.”
Seterusnya, para wali berhak untuk menikahkan atau menawarkan anak gadis beliau kepada pemuda yang baik-baik. Ini dikira dari sudut agamanya (kesolehan).
Dalam Fathul Bari (9/83), al-Hafiz Ibnu Hajar berkata:
“Seseorang dibolehkan untuk menawarkan anak gadisnya atau wanita yang berada di bawah tanggungjawabnya kepada lelaki yang diyakini baik dan soleh. Kerana hal itu akan membawa manfaat kepada yang ditawarkan dan seseorang tidak perlu merasa malu untuk melakukan hal itu. Dan juga diperbolehkan ia menawarkannya kepada lelaki soleh walaupun ia sudah beristeri.”
Malah, wanita itu dibolehkan untuk menawarkan dirinya (untuk dinikahi) kepada lelaki yang diketahui kesolehannya.
Ini berdasarkan kepada suatu riwayat, dari anas bin Malik r.a. ia berkata:
“Seorang wanita datang menawarkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w. Ia berkata:
“Wahai Rasulullah, apakah engkau mempunyai keinginan untuk menikahiku?””
Puteri Anas berkata: “Betapa sedikit rasa malunya, alangkah buruk wanita ini, alangkah jelek wanita ini!”
Anas berkata: “Dia lebih baik daripada dirimu. Ia mencintai Rasulullah s.a.w. dan menawarkan dirinya kepada beliau.” (Diriwayatkan oleh Bukhari, 3/246, an-Nasa’i, dan Ibnu Majah)
Dalam persoalan ini juga, imam Bukhari telah meletakkan satu bab bertajuk
“Seorang Wanita Menawarkan Dirinya Kepada Lelaki Soleh”.
Akhir sekali, adalah dilarang wanita yang baik dan solehah, dinikahkan/bernikah dengan lelaki yang buruk atau seorang penzina.
Ini adalah berdasarkan Firman Allah s.w.t. ini,
“Laki-laki yang berzina tidak mengawini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik...” (an-Nuur 24: 3)
Secara keselurannya, sebagai kesimpulan, diajurkan para wali atau wanita untuk memilih calon suami yang baik agamanya (lelaki soleh) sebagai keutamaan, memiliki daya kepimpinan yang baik dalam persoalan kekeluargaan, memiliki kemampuan dari segi kewangan dan ilmu, dan memliki keterampilan/personaliti yang disenangi oleh si wanita. Perlu ditekankan, bahawa dalam banyak riwayat, ditunjukkan bahawa pengaruh agama itu lebih diberi keutamaan berbanding ciri-ciri yang lainnya. Malah, di dalam beberapa hadis menunjukkan bahawa ada lelaki yang miskin namun baik agamanya, adalah diberi kepercayaan/saranan oleh nabi s.a.w. sendiri.
Dalam memilih pasangan hidup dapat diatasi dengan beberapa tips berikut ini,
1. pilihlah kerana agamanya,
2. kenali dengan cara menanyakan kepada orang yang paling dekat dengannya dan dapat kita percaya,
3. letakkan niat pada tempat yang benar, kerana segala perbuatan memerlukan dan sangat dipengaruhi niat,
4. solat istikharah untuk mohon petunjuk kepada Allah juga patut dilakukan,
5. apabila semua ini telah dilakukan, maka pasrahkan diri kepada Allah SWT akan keputusan-Nya, jangan keluh kesah, kerana itu tidak akan pernah menyelesaikan masalah
Masalah jodoh hanya Allah yang tahu, siapa pasangan kita sebenarnya, itulah rahsia Allah. Kita hanya diminta untuk berusaha, dan Allah-lah penentunya, terkadang Dia menentukan pilihan-Nya itu diluar dugaan dan jangkaan kita sebagai seorang manusia, tapi itulah ketentuan Allah. Jika memang harus menerima kenyataan di luar kehendak kita, maka ingatlah untuk tidak sembarangan memberikan cinta kepada siapapun, kerana kadar cinta kita kepada Allah harus lebih tinggi dari itu semua. Yang terbaik menurut Allah, itulah yang paling utama.
Jangan ambil mudah dan terburu nafsu membuat pilihan. Lebih-lebih lagi jangan membuat keputusan berdasarkan desakan persaingan atau bimbangkan apa orang lain kata. Maka seharusnya terlebih dahulu mencari jalan untuk memastikan bahawa bakal suami faham peranan dan tanggungjawabnya serta berpotensi menuntun ahli keluarganya ke syurga.
Setelah merasa aman dan percaya terhadap pegangan agama dan hati budi calon suami maka terimalah pinangannya. Selamat berjuang akhi, selamat berjuang ukhti. Mulailah dengan bismillah dan niat yang benar, insyaAllah, redha-Nya akan selalu menghampiri, dan semoga Allah selalu memudahkan urusan kita semua. Wa'allahualam