TERKINI
Mail Instagram Pinterest RSS
Mega Menu
  • Anything

    These are widget areas. You can put anything you want in here.

    Mail Instagram Pinterest RSS

Mengembalikan ruh perjuangan pembaharuan

Gerakan mahasiswa pada dasarnya merupakan suatu gerakan sosial ( social movement), yang adalah salah satu bentuk utama dari perilaku kolektif (collective behavior). Menurut Turner dan Killan [1972], secara formal gerakan sosial didefinisikan sebagai suatu tindakan kolektif yang melakukan kegiatan dengan kadar kesinambungan tertentu untuk menunjang atau menolak perubahan yang terjadi dalam masyarakat atau kelompok yang mencakup tindakan kolektif itu sendiri.

Ada bermacam jenis gerakan yang boleh saya klasifikasikan sebagai jenis gerakan yang berbeza, jenis-jenis gerakan ini boleh tumpang-tindih, dan sebuah gerakan tertentu mungkin mengandung elemen-elemen lebih dari satu jenis gerakan. Pertama, Gerakan Protes, yaitu gerakan yang bertujuan mengubah atau menentang sejumlah keadaan sosial yang ada. Kedua, Gerakan Regresif atau disebut juga Gerakan Resistensi iaitu gerakan sosial yang bertujuan membalikkan perubahan sosial atau menentang sebuah gerakan protes. Ketiga, Gerakan Religius iaitu dapat dirumuskan sebagai gerakan sosial yang berkaitan dengan isu-isu spiritual atau agama. Keempat, Gerakan Komunal, atau ada juga yang menyebut Gerakan Utopia. Gerakan komunal adalah gerakan sosial yang berusaha melakukan perubahan. Contohnya dengan membangun sebuah masyarakat model di kalangan sebuah kelompok kecil.

“Mahasiswa kini lesu”. Kata-kata tersebut dilafazkan sebagai keluhan terhadap fenomena kelesuan mahasiswa sejak berakhirnya ‘zaman kegemilangan’ gerakan mahasiswa pada tahun 60-an dan 70-an suatu ketika dahulu. Benarkah mahasiswa masih lesu?

Mungkin juga fenomena ini disebabkan oleh hilangnya minat mahasiswa untuk menghayati dan menganalisa keadaan politik, ekonomi dan sosial tempatan mahupun antarabangsa, serta tidak ada lagi slogan ‘Mahasiswa Jurubicara Masyarakat’ kerana kebanyakan mereka sudah tidak peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Sebenarnya ini bukan punca kelesuan mahasiswa tetapi ia adalah kesan daripada punca yang lebih berakar umbi. Maka, apakah punca utama kelesuan mahasiswa?

Ramai yang mengataka bahawa budaya takut untuk mengkritik telah menghantui mahasiswa sejak zaman AUKU diperketatkan pada 1975. Berapa ramai yang tahu apa yang terkandung dalam AUKU? Apa yang terkandung dalam AUKU hingga menambat mahasiswa selama lebih 30 tahun? AUKU sebenarnya tidak bersalah. Ia hanyalah akta bagi memastikan sesebuah institusi pengajian tinggi berjalan dengan lancar. Setiap institusi perlukan peraturan. Namun, apakah yang menggerunkan mahasiswa apabila teringatkan AUKU?

Sebenarnya hanya beberapa bahagian dan seksyen dalam AUKU yang menjadi perbahasan mahasiswa sejak sekian lama. Tidak keterlaluan jika dikatakan hanya bab keterlibatan dalam ‘politik’ terus-menerus menjadi isu utama yang membelenggu aktivitisme mahasiswa. Jika inilah isu utamanya, sebenarnya larangan terlibat dalam parti politik telah wujud sebelum pindaan 1975 lagi.

Berbalik kepada persoalan asas, mengapa gerakan mahasisiwa lesu selepas peristiwa demonstrasi Baling tahun 1974? Jawapan saya adalah kerana pada ketika itu, idealisme mahasiswa berteraskan kebenaran dan keadilan sebagai tunjang perjuangan. Mereka menjuarai isu rakyat. Sebaliknya, mahasiswa kini sekadar menjadi pembakar isu, kritis tanpa alternatif dan tidak berjiwa besar. Tidak keterlaluan jika saya katakan mahasiswa terlalu idealis tetapi tidak realistik.

Dalam masa yang sama, pihak universiti dan kerajaan juga harus peka terhadap kehendak mahasiswa. Secara umum, mahasiswa mahu suara mereka didengar, isu-isu yang dibawa ditangani secara telus dan peranan mereka diiktiraf. Di sini saya bersetuju dengan saranan Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah bahawa suatu model governan baru diperkenal oleh pihak universiti dan kerajaan dimana mahasiswa diberi penghakupayaan (empowerment). Suatu platform harus diwujudkan untuk membolehkan idealisme, intelektualisme dan aktivitisme mahasiswa disalurkan secara lebih berkesan dan bermakna.

Budaya Ilmu

Jika mahasiswa mahu dipandang serius, idealisme mereka perlu bertunjangkan idea yang tulin dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak berkepentingan. Setiap idea harus berdasar pengetahuan dan hujah yang berpijak di bumi yang nyata serta fakta yang konkrit. Untuk menjadi suara rakyat, gagasan mahasiswa tidak wajar sekadar menjadi pengimbang pihak kerajaan, tetapi juga pihak pembangkang. Mereka hendaklah menjadi suara ketiga yang lebih neutral.

Mahasiswa wajar menjadikan budaya ilmu sebagai pencetus kepada perjuangan. Budaya ilmu bukan sekadar membanyakkan bacaan dan hafalan. Lebih daripada itu, ia menekankan aspek berfikir secara rasional dan menganalisa secara mendalam. Budaya ilmu juga bermakna mencintai ilmu dan ilmuwan, menulis, menyelidik serta mengembangkan ilmu. Malangnya budaya ini belum mekar dalam warga kampus sebagaimana kata Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Dato’ Ir. Dr. Zaini Ujang:

“Aspek yang menjurus kepada pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu seperti wacana, diskusi, ’kegilaan membaca dan menulis’ dan persekitaran yang mesra intelektualisme tidak lagi menjadi trend dan aset penting. Bahkan personaliti sedemikian tidak lagi menyerlah di kampus malah nampaknya semakin pupus melawan arus masa.”

Justeru, sebagai persediaan mahasiswa menjadi rakan pembangunan (kepada universiti dan kerajaan), mereka perlu mula membaca karya-karya besar yang ditulis oleh tokoh-tokoh berjiwa besar. Semarakkan budaya berfikir dan binalah kuasa mahasiswa (student power) dengan hikmah.

Akhirnya, hanya satu kata perjuangan iaitu bersatu, rapatkan barisan, bahu membahu dan tegakan kebenaran di jalan yang benar. Akhirnya, Idealisme perjuangan mahasiswa harus mampu mengembalikan ruh perjuangan pembaharuan dimana kita telah merebutnya.


Mohd Yusof Hadhari
Ketua Penerangan Gamis Pusat 2010/2011