TERKINI
Mail Instagram Pinterest RSS
Mega Menu
  • Anything

    These are widget areas. You can put anything you want in here.

    Mail Instagram Pinterest RSS

Kisah Ka’ab bin Malik Dihukum Rasulullah saw

Emosi manusia apabila dipecat, didenda atau dihukum, dikenakan tindakan disiplin serta merta pasti akan merasai kejutan drastik yang luar biasa. Fitrahnya manusia tanpa berfikir panjang pasti akan merasa marah, haba panas meluap-luap dalam kepala, melenting, meradang, lebih parah lagi bila menyimpan kesumat dan dendam menghadapi tindakan sedemikian. Namun, dalam gerakan Islam bagi mereka ditarbiyah secara murninya akan mengoreksi setiap ujian itu menerusi cerminan al-Quran dan al-Sunnah, jiwanya kental kerana niatnya berjuang semata-mata mengharap redha Allah dan Rasul, pastilah dia tidak merasa sempit dada kerana jalan perjuangan masih panjang, bahkan tiada noktahnya sehinggalah menjelang hari kiamat. Hukuman bukanlah bererti perjuangan terhenti, berhenti dan mati, tetapi harus terus konsisten (istiqamah) berada di lapangan yang diredhai Allah dan Rasul-Nya.


Itulah peribadi sahabat bernama Ka’ab bin Malik ra, biarpun dihukum ‘pemulauan’ kerana tidak hadir di Tabuk. Beliau menceritakan kisah hukuman itu dalam sebuah hadis yang panjang. Sungguhpun dihukum, ia bukanlah alasan untuk Ka’ab berpaling tadah daripada terus berada di dalam nakhoda perjuangan yang diterajui Rasulullah saw. Peristiwa ini berlaku ketika terdapat ramai puak munafik yang tidak menyertai gerakan jihad ke Tabuk, misinya adalah untuk mengajar kebiadaban Rom yang melanggar etika diplomasi apabila membunuh Farwah bin ‘Amr al-Judzami, seorang delegasi Muslim yang berada di Syam. Kaum munafik bukan sahaja gagal menyahut perintah Nabi, mereka gagal menginsafi diri, bahkan cuba mempengaruhi orang lain supaya turut menguzurkan diri dalam peperangan tersebut. Hal ini dirakamkan di dalam surah al-Taubah ayat 81;
فَرِحَ الْمُخَلَّفُونَ بِمَقْعَدِهِمْ خِلافَ رَسُولِ اللَّهِ وَكَرِهُوا أَنْ يُجَاهِدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَقَالُوا لا تَنْفِرُوا فِي الْحَرِّ قُلْ نَارُ جَهَنَّمَ أَشَدُّ حَرًّا لَوْ كَانُوا يَفْقَهُونَ
“Orang-orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang dalam Tabuk) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah); dan mereka (sememangnya) tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya), dan mereka pula (menghasut dengan) berkata; Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini. Katakanlah (wahai Muhammad); Api neraka Jahannam lebih panas membakar, kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami.”

Orang-orang munafik memberi alasan;
 لا تَنْفِرُوا فِي الْحَرِّ
Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini.

Lantaran itu Rasulullah saw menjawab;
نَارُ جَهَنَّمَ أَشَدُّ حَرًّا
Api neraka Jahannam lebih panas membakar.

Sebelum Tabuk, kaum Muslimin pernah memerangi tentera Rom dalam peperangan Mu’tah kerana mereka membunuh wakil kaum Muslimin iaitu Harith bin Umair al-Uzdi. Dalam peperangan tersebut, ketua-ketua panglima lantikan Rasulullah saw menemui syahid sehinggalah kemudiannya tentera Muslimin bermusyawarah lantas melantik Khalid al-Walid ra sebagai ketua mereka. Khalid al-Walid yang masih baru memeluk Islam kemudiannya mengarahkan tentera mengundurkan diri kerana peperangan yang terlalu sengit dan ramai tentera Islam yang terkorban. Oleh kerana itu, jika peperangan benar-benar berlaku di Tabuk maka ia menjadi medan pertembungan yang kedua menemukan semula tentera Islam dengan Rom. Hal ini menyebabkan ramai kaum munafik sengaja menguzurkan diri, mencari-cari alasan saintifik sebagaimana dinyatakan al-Quran iaitu faktor cuaca panas membahang, perjalanan jauh dan sukar untuk mendapat bekalan air, padahal kaum munafik sebenarnya mempunyai pakatan sulit dengan kerajaan Rom. 

Antara alasan lain kaum munafik disebut dalam al-Quran surah al-Taubah, ayat 49;
 وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ ائْذَن لِّي وَلاَ تَفْتِنِّي
“Di antara mereka (kaum munafik) ada yang berkata; Berilah saya izin (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan saya terjerumus ke dalam fitnah.

Sejurus tentera Islam sampai ke Tabuk, peperangan sebenarnya tidakpun berlaku sebagaimana yang dijangkakan kerana setelah Rom mendengar khabar kedatangan Rasulullah saw membawa sejumlah ketenteraan yang besar seramai 30 000 orang, mereka masing-masing berkeliaran lari di pelbagai negeri. Sebahagian ulama sirah menyatakan bahawa Rom memang tidak sanggup menentang tentera Islam di Tabuk kerana mereka masih dipimpin oleh seorang Nabi. Walaupun terdapat beberapa orang sahabat mencadangkan agar tentera Islam mengejar tentera-tentera Rom yang lari, tetapi Rasulullah saw mengarahkan agar kembali pulang ke Madinah. Dalam perjalanan pulang dari Tabuk ke Madinah, kaum munafik telah merancang pelancaran Masjid al-Dhirar agar dirasmikan oleh Rasulullah saw, tetapi tipu daya kaum munafik itu dibongkar oleh Allah swt sehingga Nabi memerintahkan para sahabat untuk membinasakan Masjid al-Dhirar. 

Di Madinah, Rasulullah saw telah maklum tentang beberapa orang yang tidak pergi ke Tabuk. Lebih 80 orang bertemu baginda, dan rata-ratanya membawa bermacam-macam hujjah termasuklah ada yang memberi alasan sedang berpuasa. Di antara mereka yang jujur serta mengaku bersalah di hadapan Rasulullah saw adalah Murarah bin Rabi’, Hilal bin Umayyah dan Ka’ab bin Malik yang terkenal memiliki bakat pidato, debat dan mampu menuturkan syair-syair indah secara spontan. ٍKa’ab bin Malik tidak pernah terlepas dalam mana-mana siri peperangan bersama Rasulullah saw kecuali di Tabuk. Semasa perang Uhud, ketika pasukan pemanah berantakan dibelasah tentera berkuda oleh kafir Quraish, telah tersebar berita palsu bahawa Rasulullah saw terkorban sehingga menyebabkan tentera Islam menjadi lemah, lesu dan tidak bersemangat. Tetapi Ka’ab bin Malik lah orang yang mula-mula mengesan bahawa berita itu dusta, kemudian melaungkan dengan penuh kesungguhan kepada tentera Islam agar kekal dan tidak berganjak;
 يا معشر المسلمين، أبشروا، هذا رسول الله حيٌّ لم يقتل
“Wahai sekalian Muslimin, terimalah berita gembira untuk kalian semua bahawa inilah Rasulullah saw masih hidup tidak terbunuh.

Tidak hairanlah jika setiap kali peperangan Rasulullah saw akan bertanya tentang laporan kehadiran  Ka’ab bin Malik. Justeru ketiadaannya di Tabuk dapat dikesan awal oleh Rasulullah saw. Sungguhpun besar bakti  Ka’ab bin Malik, langsung sahaja Rasulullah saw menjatuhkan hukuman ke atasnya termasuklah Murarah dan Hilal di atas arahan Allah swt, bukan disebabkan mereka munafik, tetapi kerana potensi dan kewibawaan mereka boleh mempengaruhi masyarakat Islam untuk sama bersikap culas terhadap arahan-arahan Rasulullah saw selanjutnya. Berikut adalah sebab-sebab ketidakhadiran mereka di Tabuk;
  1. Murarah bin Rabi’ tidak bersama-sama pasukan Rasulullah saw kerana hasil tanaman anggur dan tamar dikebunnya sedang ranum dan terpaksa dikutip. Lalu beliau menyangka penyertaannya dalam lain-lain peperangan sebelum ini, dapat melepaskan dirinya daripada peperangan yang seterusnya bakal dihadapi oleh kaum Muslimin.
  2. Hilal bin Umayyah sibuk mendampingi kaum keluarganya yang baharu pulang ke Madinah setelah sekian lama meninggalkan kota itu. Seperti Murarah, Hilal juga menyangka penyertaannya di dalam beberapa peperangan terdahulu bersama Rasulullah saw, mengizinkan sebab-sebab keuzurannya.
  3. Ka’ab bin Malik pula sedang menikmati kesenangan yang sebelum ini tidak pernah dinikmatinya, sejak peristiwa Fathu al-Makkah, kebunnya mulai subur, unta-untanya beranak-pinak. Hal itu menyebabkan Ka’ab telah sengaja tidak turut serta bersama tentera Islam ke Tabuk. Lebih-lebih lagi jumlah umat Islam yang menyertai Rasulullah saw ke Tabuk itu sangat ramai dan beliau mengira keuzurannya itu dimaafkan.
Berikut adalah kata-kata Ka’ab bin Malik kepada Rasulullah saw menatijahkan kejujuran hatinya;
وَاللَّهِ لَوْ جَلَسْتُ عِنْدَ غَيْرِكَ مِنْ أَهْلِ الدُّنْيَا لَرَأَيْتُ أَنْ سَأَخْرُجُ مِنْ سَخَطِهِ بِعُذْرٍ، وَلَقَدْ أُعْطِيتُ جَدَلا، وَلَكِنِّي وَاللَّهِ لَقَدْ عَلِمْتُ لَئِنْ حَدَّثْتُكَ اليَوْمَ حَدِيثَ كَذِبٍ تَرْضَى بِهِ عَنِّي لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يُسْخِطَكَ عَلَيَّ، وَلَئِنْ حَدَّثْتُكَ حَدِيثَ صِدْقٍ تَجِدُ عَلَيَّ فِيهِ إِنِّي لَأَرْجُو فِيهِ عَفْوَ اللَّهِ، لاَ وَاللَّهِ مَا كَانَ لِي مِنْ عُذْرٍ، وَاللَّهِ مَا كُنْتُ قَطُّ أَقْوَى وَلاَ أَيْسَرَ مِنِّي حِينَ تَخَلَّفْتُ عَنْكَ
“Demi Allah, andai daku duduk di sisi selainmu (wahai Rasulullah) dari golongan ahli dunia (saudagar), nescayalah aku mampu mendapat jalan keluar dari kemurkaannya dengan mengemukakan suatu alasan. Sebenarnya aku dikurniakan bakat bicara debat, tetapi bagiku (jika kepandaian ini digunakan untuk menipu daya) demi Allah pastilah Dia Mengetahui bahawa kata-kataku kepada Rasulullah saw adalah dusta walaupun Rasulullah terpesona dengan kata-kataku itu. (Jika demikian) sesungguhnya kemurkaan Allah akan diberitakan kepadamu (wahai) Rasulullah saw kerana pendustaanku itu. Sebaliknya jika aku memberitahu hal yang sebenarnya yang demikian itu kamu pula yang akan murka ke atas diriku dalam hal ini. Sesungguhnya daku menginginkan kesudahan yang baik daripada Allah. Demi Allah, aku tiada sebarang uzur sedikitpun - sehingga tidak mengikuti peperangan itu. Demi Allah, sama sekali aku belum merasakan lebih kuat dan lebih ringan untuk mengikutinya, yakni di waktu aku melucutkan diri dari menyertai Rasulullah saw, sehingga tidak ikut berangkat (ke Tabuk) .

Mendengar keluhan dan penyesalan Ka’ab bin Malik itu, Rasulullah saw pun bersabda;
أَمَّا هَذَا فَقَدْ صَدَقَ، فَقُمْ حَتَّى يَقْضِيَ اللَّهُ فِيكَ
“Tentang orang ini dia berbicara benar (tidak berdusta). Sekarang, bolehlah engkau pergi sehingga Allah memutuskan suatu hukuman tentang dirimu.

Kesalahan Ka’ab bin Malik, Murarah bin Rabi’ dan Hilal bin Umayyah tidaklah begitu serius seperti pengkhianatan yang boleh mengakibatkan tentera Islam berpaling tadah atau murtad. Rombongan Islam pergi ke Tabuk pun sudah sangat ramai, lagi pula pertempuran sebenarnya tidak berlaku menghadapi Rom, bahkan pasukan Rasulullah saw kembali ke Madinah dalam keadaan tidak berperang. Walaupun ada yang memberi pandangan bahawa tiada salahnya jika alasan diberikan untuk mengelakkan sebarang hukuman, tetapi mereka tidak berdolak-dalih dan redha terhadap sebarang keputusan yang bakal ditentukan Allah swt. Akhirnya mereka dihukum agar diboikot oleh kaum Muslimin untuk beberapa tempoh yang ditentukan. Tidak ada seorangpun yang dibenarkan bergaul bicara dengan mereka bertiga, kerana itu arahan Rasulullah saw.

Menurut Ka’ab bin Malik, setelah hukuman itu diputuskan dunia yang begitu luas menjadi sangat sempit akibat hukuman pemulauan ini. Di antara mereka bertiga, Ka’ab bin Malik adalah yang paling muda. Murarah bin Rabi’ dan Hilal bin Umayyah hanya mengambil jalan mengucilkan diri di rumah sahaja, saban hari mereka menangis kerana mengharapkan pengampunan Allah dan meminta tempoh hukuman ditamatkan. Hal ini lebih membimbangkan lagi jika di antara mereka ditakdirkan menemui ajal, pastilah Rasulullah saw tidak akan mengimami solat jenazah mereka. Sebaliknya pula jika Rasulullah saw wafat, sudah tentu pemboikotan yang dikenakan ke atas mereka berterusan sehingga ke akhir hayat. Justeru Ka’ab bin Malik mengambil pendekatan berbeza ketika melalui tempoh pemboikotan tersebut, beliau pergi ke pasar, solat berjamaah di masjid walaupun tidak ada seorang yang menegurnya bahkan tegurannya pun tidak disapa oleh kaum Muslimin.

Ka’ab bin Malik sering memberanikan diri menghampiri Rasulullah saw, menghadiri majlis ta’alim baginda, solat di belakang baginda, dan cuba mengambil peluang memberikan salam kepada baginda. Ka’ab menunggu-nunggu jawapan Rasulullah saw dengan penuh penyesalan dan harapan, namun kerapkali pertemuannya itu hanyalah membuahkan kehampaan apabila wajah Ka’ab pun tidak sudi baginda melihatnya. Semakin hari semakin Ka’ab merasakan dirinya dimusuhi umat Islam di setiap ceruk penjuru dunia. Pernah satu ketika Ka’ab memanjat genting pagar kebun milik sepupunya, Qatadah. Ka’ab mengucapkan salam berkali-kali kepadanya tetapi tidak berjawab. Lantaran itu Ka’ab menggesa Qatadah supaya menjawab hanya satu soalan sahaja. Ka’ab bertanya;
 يَا أَبَا قَتَادَةَ، أَنْشُدُكَ بِاللَّهِ، هَلْ تَعْلَمُنِي أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ؟
Wahai Abu Qatadah, aku hendak bertanya kepadamu kerana Allah, engkau tahu atau tidak bahawa aku sebenarnya mencintai Allah dan Rasul-Nya?

Soalan itu diulangi berkali-kali. Pada kali yang ketiga baharulah Qatadah menjawab;
اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ
Hanya Allah dan Rasul-Nya yang paling tahu.

Ka’ab bin Malik menangis teresak-esak mendengar jawapan Qatadah sambil meninggalkannya. Di suatu sudut lain ketika Ka’ab dikenakan pemulauan tersebut, banyak suara yang membelanya, banyak suara empati tentang hukumannya yang dianggap keterlaluan, kejam dan sebagainya, bahkan ada juga suara yang memujuknya berpaling dari jamaah RasuliLlah saw. Pujukan-pujukan itu berupa tawaran-tawaran jawatan, jabatan, kedudukan, kemuliaan yang akan dikurniakan oleh seorang raja dari Ghassan, Syam yang beragama Nasrani. Dari kejauhan Syam, mereka turut menyedari hukuman pemboikotan dikenakan terhadap Ka’ab bin Malik, sedangkan potensinya tidak harus disia-siakan. Ka’ab dianggap memiliki ketokohan dan daya tarikan yang kuat, pengaruh yang hebat, dan mampu memenuhi kepentingan sesiapapun yang diinginkan oleh pihak lain terhadapnya. Beberapa orang pemuda dari Syam telah menyampaikan sepucuk surat kepada Ka’ab dari Raja kerajaan Ghassanid, surat tersebut berbunyi;
أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّهُ قَدْ بَلَغَنِي أَنَّ صَاحِبَكَ قَدْ جَفَاكَ، وَلَمْ يَجْعَلْكَ اللَّهُ بِدَارِ هَوَانٍ وَلاَ مَضْيَعَةٍ، فَالحَقْ بِنَا نُوَاسِكَ
Amma ba’du; sebenarnya telah sampai berita kepada kami bahawa sahabatmu (Muhammad saw) telah memusuhimu. Allah tidak akan menjadikan engkau untuk menjadi orang hina di dunia ataupun orang yang dihilangkan hak-haknya. Maka datanglah ke tempat kami (sertai kami tinggalkan Rasulullah saw), kami akan menggembirakan hatimu.

Sungguh luar biasa perhatian Raja Ghassan kepada Ka’ab bin Malik. Ketika posisi Ka’ab berada dalam situasi kritikal kerana dipulaukan oleh Rasulullah saw, seorang pemimpin berpangkat raja yang memiliki rakyat dan kerajaan, harta dan takhta, tanah dan negara memberikan perhatian khusus kepadanya. Saat ke semua saudara-saudara se-Islamnya tidak mempedulikan Ka’ab, masih ada orang yang ingin menyapanya, bahkan ia adalah seorang raja. Namun, mujurlah yang mendapat surat itu Ka’ab bin Malik, seorang mujahid yang hebat. Ka’ab bukan orang yang mudah dipujuk rayu. Ka’ab bukan orang yang mudah diajak melakukan bangkangan terhadap kepimpinan Rasulullah saw. Kecintaan Ka’ab kepada baginda Rasulullah melebihi dunia seisinya. Tidak ada ucapan angkuh yang keluar dari mulut Ka’ab membanding-bandingkan zaman perjuangannya bersama Islam seperti, Orang luar pula yang memberikan perhatian kepadaku. Di mana sahabat-sahabatku! Jiran tetanggaku! Orang yang satu jamaah denganku?! Mereka langsung tidak peduli kepadaku.Sedangkan aku ada jasa yang besar kepada Islam sewaktu di Uhud. Lebih baik aku mencari haluan lain yang masih memberikan harapan baru kepada bakat yang ada padaku.”

Tidak ada garis kalimat seperti itu yang tercetus dari mulut Ka’ab bin Malik. Beliau menyedari, surat Raja Ghassan itu adalah ujian berikutnya yang harus dihadapi dengan sepenuh kesedaran dan kefahaman. Adapun matlamat dunia dan akhirat yang diinginkannya adalah keredhaan Allah dan Rasul-Nya. Bukan pengakuan atau pengiktirafan manusia, bukan apresiasi Raja Ghassan. Surat Raja Ghassan itu benar-benar merupakan sebuah ujian keikhlasan yang datang tepat pada waktunya, dan Ka’ab mampu melalui ujian ini dengan sempurna apabila beliau menolak pelawaan seorang raja dan membakar surat itu ke dalam unggun api.

Selepas 40 hari pemulauan itu berjalan, timbul bibit-bibit harapan sekalian umat Islam agar hukuman ke atas tiga orang sahabat Nabi itu berakhir. Tetapi perutusan Rasulullah saw membawa satu arahan baru, iaitu perintah supaya Ka’ab bin Malik, Murarah bin Rabi’ dan Hilal bin Umayyah berjauhan dengan isteri. Perutusan Rasulullah saw yang datang bukan perutusan pengampunan, sebaliknya hukuman ditambahkan lagi dengan perintah berpisah tempat tinggal dengan isteri. Hidup dirasakan seperti dalam penjara, tanpa teman, tanpa anak dan isteri yang menemani walaupun hidup di luar tingkap besi. Lengkap sudah kesunyian mereka, ketiga-tiga sahabat Nabi ini menjalani babak baharu dalam hukumannya. Bagaimanapun mereka tetap akur dengan hukuman tersebut, mereka tidak memberontak, menuding kesalahan kepada orang lain, apalagi menolak hukuman berikutnya yang menanti mereka. Justeru, bersantai sahaja di rumah dan tidak bersama-sama kaum Muslimin ke medan perang bukanlah kesalahan yang ringan. Buktinya hukuman masih ditambah dan ditingkatkan.

Di antara ketiga-tiga orang sahabat Nabi yang dipulaukan ini, hanya Hilal bin Umayyah sahaja yang memiliki masalah kerana usianya yang sudah lanjut tua. Lantaran itu, isterinya datang menemui Rasulullah saw, mengadu bahawa suaminya sudah tua dan tidak memiliki pembantu untuk menguruskan sebarang aktivitinya. Isterinya tidak sanggup membiarkan Hilal menjalani kehidupan sendiri dalam usia sedemikian, lantas Rasulullah saw mengizinkan permintaan isteri Hilal bin Umaiyah. Begitulah mulianya adab generasi Islam di zaman RasuliLlah saw, bila arahan dikeluarkan oleh Nabi, mereka mendengar dan taat. Ketika hukuman itu terasa sukar dan memberatkan, mereka menghadap Nabi  dengan penuh akur terhadap arahan dan mengharapkan belas kasihan daripada Allah. Itu semua merupakan hak yang diakui oleh Rasulullah saw, ia bukanlah suatu keaiban bahkan inilah contoh interaksi yang sangat mulia di antara orang-orang beriman yang sangat mencintai Allah dan Rasul-Nya.

Pada malam yang ke-50, seusai Ka’ab bin Malik solat subuh di perkarangan rumahnya, bertafakur menyesali segala perbuatannya, tiba-tiba kedengaran suara teriakan kuat oleh seseorang di puncak gunung Sal’ein, salah sebuah gunung di Madinah; 
يَا كَعْبَ بْنَ مَالِكٍ أَبْشِرْ
“Wahai Ka’ab bin Malik, bergembiralah.” 

Mendengar suara itu, Ka’ab bin Malik pun bersujud syukur dan yakin bahawa taubat ketiga-tiga sahabat RasuliLlah saw yang dihukum itu telah diterima oleh Allah. Seorang dari Bani Aslam meluncur laju menaiki kuda menuju ke pintu rumah Ka’ab iaitu Hamzah bin Umar al-Aslami, kerana beliaulah yang telah mengangkat suaranya yang tinggi di atas gunung membawa berita gembira tersebut. Kegembiraan itu dikongsi bersama apabila baju yang sedang dipakai Ka’ab ketika itu dihadiahkan kepada Hamzah, sedangkan beliau tidak ada baju lain sesudah itu. Ka’ab kemudiannya berangkat segera ke tempat Rasulullah saw dengan meminjam baju orang lain, di sana beliau disambut seorang demi seorang, sekelompok demi sekelompok menyatakan kegembiraan kerana taubatnya telah diterima. Kata mereka kepada Ka’ab sepanjang berada di masjid untuk bertemu Rasulullah saw;
لتَهْنِكَ تَوْبَةُ اللَّهِ عَلَيْكَ
“Semoga gembira hatimu (wahai Ka’ab bin Malik) kerana Allah telah menerima taubatmu itu.”

Demikian akhirnya Ka’ab bin Malik memasuki masjid dan bersalaman dengan Rasulullah saw, dipeluk dan dikucupnya baginda yang sedang menyambutnya dalam keadaan wajah yang girang ibarat terang bulan yang penuh. Diriwayatkan daripada Ka’ab bin Malik;
فَلَمَّا سَلَّمْتُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم وَهُوَ يَبْرُقُ وَجْهُهُ مِن السُّرُورِ؛ أَبْشِرْ بِخَيْرِ يَوْمٍ مَرَّ عَلَيْكَ مُنْذُ وَلَدَتْكَ أُمُّكَ. قَالَ قُلْتُ؛ أَمِنْ عِنْدِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَمْ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ؟ قَالَ؛ لاَ، بَلْ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ. وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم إِذَا سُرَّ اسْتَنَارَ وَجْهُهُ حَتَّى كَأَنَّهُ قِطْعَةُ قَمَرٍ، وَكُنَّا نَعْرِفُ ذَلِكَ مِنْهُ
“Ketika aku mengucapkan salam kepada Rasulullah saw, baginda Nabi kelihatan berseri-seri wajahnya kerana gembiranya lalu bersabda; Bergembiralah dengan datangnya suatu hari baik yang pernah engkau alami sejak engkau dilahirkan oleh ibumu. Aku bertanya; Apakah itu datangnya dari sisi Tuan sendiri ya Rasul Allah, ataukah ia dari sisi Allah? Baginda saw menjawab; Tidak, tetapi memang daripada Allah. Adapun Rasulullah saw itu apabila gembira hatinya, maka wajahnya pun bersinar indah, seolah-olah wajahnya itu adalah sepenuh bulan, kita semua mengetahui hal itu.”

Ka’ab bin Malik menjelaskan pengajaran di sebalik pemboikotan kaum Muslimin terhadapnya; 
إِنَّ اللَّهَ إِنَّمَا نَجَّانِي بِالصِّدْقِ وَإِنَّ مِنْ تَوْبَتِي أَنْ لاَ أُحَدِّثَ إِلاَّ صِدْقًا مَا بَقِيتُ
“Sesungguhnya Allah telah menyelamatkan diriku dengan berkata benar, maka sebagai tanda taubatku pula ialah bahawa aku tidak akan berkata kecuali yang sebenarnya selama kehidupanku masih berbaki.”

Kemudian turunlah ayat Allah;
لَقَد تَّابَ اللَّه عَلَى النَّبِيِّ وَالْمُهَاجِرِينَ وَالأَنصَارِ الَّذِينَ اتَّبَعُوهُ فِي سَاعَةِ الْعُسْرَةِ مِن بَعْدِ مَا كَادَ يَزِيغُ قُلُوبُ فَرِيقٍ مِّنْهُمْ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ إِنَّهُ بِهِمْ رَؤُوفٌ رَّحِيمٌ
“Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi dan orang-orang Muhajirin dan Ansar yang mengikutnya (berjuang) dalam masa kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong hati segolongan dari mereka (daripada menurut Nabi untuk berjuang); kemudian Allah menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Amat belas, lagi Maha Mengasihani terhadap mereka.” (surah al-Taubah: 17) 

وَعَلَى الثَّلَاثَةِ الَّذِينَ خُلِّفُوا حَتَّى إِذَا ضَاقَتْ عَلَيْهِمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ وَضَاقَتْ عَلَيْهِمْ أَنْفُسُهُمْ وَظَنُّوا أَنْ لَا مَلْجَأَ مِنَ اللَّهِ إِلَّا إِلَيْهِ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
“Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadaNya; kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.” (surah al-Taubah: 18) 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اتَّقُواْ اللَّهَ وَكُونُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.” (surah al-Taubah: 19)

Alangkah gembiranya perasaan Ka’ab bin Malik apabila diturunkan ayat tadi sehingga beliau berkata dan menjelaskan perihal orang yang berdusta kepada Nabi;
فوَاللَّهِ مَا أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيَّ مِنْ نِعْمَةٍ قَطُّ- بَعْدَ أَنْ هَدَانِي للإِسْلاَمِ- أَعْظَمَ، فِي نَفْسِي مِنْ صِدْقِ رسولِ اللَّهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم أَنْ لاَ أَكُونَ كَذَبْتُهُ فَأَهْلِكَ كَمَا هَلَكَ الَّذِينَ كَذَبُوا، فَإِنَّ اللَّهَ قَالَ لِلَّذِينَ كَذَبُوا حِينَ أَنْزَلَ الوَحْيَ شَرَّ مَا قَالَ لِأَحَدٍ، فَقَالَ عَزَّ وَجَلَّ ؛ ﴿سَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَكُمْ إِذَا انْقَلَبْتُمْ إِلَيْهِمْ لِتُعْرِضُوا عَنْهُمْ فَأَعْرِضُوا عَنْهُمْ إِنَّهُمْ رِجْسٌ وَمَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ ﴾ إِلَى قَوْلِهِ: ﴿يَحْلِفُونَ لَكُمْ لِتَرْضَوْا عَنْهُمْ فَإِنْ تَرْضَوْا عَنْهُمْ فَإِنَّ اللَّهَ لا يَرْضَى عَنِ الْقَوْمِ الْفَاسِقِينَ ﴾.خ
“Demi Allah, belum pernah Allah mengurniakan kenikmatan kepadaku sama sekali (sehebat ini) setelah aku memperolehi petunjuk dari Allah untuk memeluk agama Islam ini, yang kenikmatan itu lebih besar dalam perasaan jiwaku, melebihi perkataan benarku yang aku sampaikan kepada Rasulullah saw, sebab tidakku dustainya sehingga andaikata demikian (sebaliknya mengikut jejak langkah munafik untuk selamat) tentulah aku akan rosak sebagaimana kerosakan yang dialami oleh orang-orang yang berdusta (kerosakan agama bagi dirinya). Sesungguhnya Allah telah berfirman kepada orang-orang yang berdusta ketika diturunkannya wahyu, iaitu suatu kata-kata terburuk yang pernah diucapkan kepada seseorang. Allah berfirman yang ertinya :-

Mereka akan bersumpah kepadamu dengan nama Allah, ketika engkau kembali kepada mereka, supaya engkau dapat membiarkan mereka. Sebab itu berpalinglah dari mereka itu, sesungguhnya mereka itu kotor dan tempatnya adalah neraka Jahanam, sebagai pembalasan dari apa yang mereka lakukan.
--- sehinggalah kepada ayat ---
Mereka bersumpah kepadamu supaya engkau merasa senang kepada mereka, tetapi biarpun engkau merasa senang kepada mereka, namun Allah tidak suka kepada kaum yang fasik itu. (surah al-Taubah: 95-96)

Inilah kesan tarbiyah daripada peristiwa yang sangat mustahak kita ambil pengajarannya. Peristiwa menarik seperti ini hanya dapat kita saksikan daripada generasi terbaik di zaman Rasulullah saw. Peristiwa ini memberikan pelajaran kepada kita, sekalipun pengajaran itu diambil melalui kesilapan orang-orang soleh terdahulu. Ini kerana, jika generasi keemasan Islam tidak pernah ada orang bersalah, untouchable, maka kita tidak dapat mengesan ibrah daripada kesilapan mereka.