TERKINI
Mail Instagram Pinterest RSS
Mega Menu
  • Anything

    These are widget areas. You can put anything you want in here.

    Mail Instagram Pinterest RSS

Gol dan Jutawan

Walaupun pasukan Bola Sepak Malaysia sejak sekian lama kempunan untuk sertai sukan tersohor ini, bolak sepak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan bulan depan akan mencatat sejarah tersendiri buat Negara.

Jika semua berjalan seperti dirancang, peminat bola di sini akan mendapat lebih dari sekadar keseronokan melihat jaguh-jaguh dunia beraksi menerusi TV. Kali ini tidak sahaja menonton, mereka juga boleh berjudi, secara ‘halal’.

Kerajaan telah bersetuju meluluskan lesen pertaruhan atau judi Bola Sepak kepada sebuah syarikat. Ertinya anda boleh membuat ramalan siapa yang akan menang pada setiap perlawanan, dan meletakkan pertaruhan tanpa had, mungkin RM juta-juta atas ramalan anda itu.

Kalau nasib baik, anda boleh menjadi jutawan segera hanya menerusi satu perlawanan. Tentu seronok! Jika Power Root yang menjanjikan Jutawan kepada anda, tetapi ianya mengambil masa yang mungkin berbulan-bulan, tetapi pertaruhan ini hanya 90minit sekadar satu perlawanan. Senangnya jadi Jutawan.

Kita kecewa kerana selama ini gagal melahirkan pemain bola sepak professional berkelas dunia, walaupun bermain sehingga stadium runtuh dan juga mempunyai stadium bertaraf antarabangsa. Apakah kita boleh berbangga sekiranya nanti Berjaya mewujudkan pejudi-pejudi bola professional? Tentu ini tidak termasuk dalam kategori ‘Malaysia Boleh’!

Tidaklah menghairankan sekiranya banyak suara-suara menentang, termasuk yang mengadakan perhimpunan membantah berhubung dengan tindakkan Kementerian Kewangan meluluskan lesen judi bola. Ada yang menuduh parti-parti tertentu telah mempolitikkan isu ini, untuk meraih undi. Di tempat kita akhir-akhir ini apa sahaja teguran akan dianggap sebagai mempolitikkan isu. Kata 1 Malaysia, rakyat di dahulukan? Tetapi bila rakyat menegur, rakyat pula yang ditangkap..pelik…pelik.

Kita semua sudah tahu, tidak kira dalam apa bentuk pun, bukan soal politik. Baik yang dilesenkan mahu pun yang membiak tanpa lesen, judi tetap judi, haram tetap haram. Kalau sebab dilesenkan boleh jadi halal, kena masuk kelas tadika semula la. Dengar Ulama’ dalam kerajaan ramai. Lagi pula bukan Islam sahaja hanya mengharamkan judi tetapi agama-agama lain juga tidak menyukai amalan ini.

Tambahan pula kita sudah ada banyak judi. Sejak awal merdeka macam-macam bentuk judi telah dilesenkan. Untuk orang biasa yang tidak berduit ada judi ‘ENE’ atau empat no ekor. Kedai judi jenis ini ada di mana-mana, lebih banyak dari masjid atau surau, jauh lagi la kalau sekolah agama. Bagi yang berduit, boleh berjudi di kasino atas bukit, atau berkasino dalam kapal.

Agaknya kita tidak ada kekuatan, jadi tidak sampai hati hendak menarik balik lesen-lesen judi yang ada sekarang. Al maklumlah, judi turut menyumbang kepada perbendaharaan Negara. Jika rokok yang di bawa masuk secara haram sudah merugikan Malaysia berjuta-juta, inikan pula judi. Seperti yang diberitahu di Parlimen, pada tahun 2009 jumlah cukai perjudian dan duti pertaruhan yang diterima kerajaan daripada semua operator nombor ramalan(NFO) ialah RM 1,199,574,646.73. Panjang angkanya, kalau diringkaskan menjadi RM1.2 bilion, lumayan juga!

Tetapi kalau pun tidak sampai hati untuk memansuhkan lesen-lesen yang masih beroperasi sekarang, janganlah pula terlalu bermurah hati memberi lesen baru kepada mana-mana pihak. Memanglah kita masyarakat majmuk, ‘1 Malaysia’ katanya. Tetapi kena kira juga orang Islam dan orang lain yang tidak suka judi. Jangan jadikan alasan orang Islam tak berjudi, jadi judi boleh dihalalkan dalam Malaysia.

Kononnya dengan melesenkan judi bola sepak, kita dapat mengawal keadaan dan mengelakkan wujudnya judi haram. Apakah benar melesenkan dapat mengelakkan kegiatan judi haram? Hakikatnya tidak begitu. Walaupun ENE memang sejak sekian lama telah ‘dihalalkan’, masih ada beribu-ribu kegiatan ‘tikam ekor’ haram di seluruh Negara.

Judi haram terus membiak. Menurut bekas Menteri Besar dan kini menjadi Pembangkang, Khir Toyo, di negeri Selangor sahaja sekarang ada 4,000 pusat judi, termasuk ‘tikam ekor’. Itu bukti bahawa melesenkan judi tidak bermakna kita dapat menghalang membiaknya judi haram. Lebih-lebih lagi kita sentiasa tidak cukup kakitangan dan tidak tegas dalam memerangi benda-benda haram.

Kalau alasan orang Islam tidak main judi, jadi judi bola sepak tidak ada masalah dilesenkan. Cuba perhatikan setiap kali(seminggu tiga kali) cabutan ENE, orang Islam berbaris di kedai ekor untuk membuat ‘pelaburan’. Tidak sedikit pun mereka berasa malu, seolah-olah mereka berbaris untuk membeli sup ekor.

Kalau ikut kenyataan Muhyiddin Yassin, kerajaan akan meneliti reaksi masyarakat dan memberi jaminan akan sentiasa mengambil kira pandangan semua termasuk dari kalangan Islam dan bukan Islam. Sekarang jelas ramai yang menentang kelulusan lesen judi bola. Harap-harap kerajaan mendengar suara ramai. Judi seperti rasuah, mesti diperangi. Tolonglah berani sikit mufti dan ulama’-ulama’ dalam kerajaan.

http://seutastasbih.blogspot.com/2010/05/gol-dan-jutawan.html