TERKINI
Mail Instagram Pinterest RSS
Mega Menu
  • Anything

    These are widget areas. You can put anything you want in here.

    Mail Instagram Pinterest RSS

Mahalnya Mahar Istiqamah

Kerinduan menyelubungi pemergian Ramadhan….di manakah perginya ungkapan Istiqamah…

Daripada Sufyan bin Abdillah radhiyallahu ‘anhu mengatakan,

(maksudnya): “Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, khabarkan kepadaku tentang Islam suatu ucapan yang aku tidak akan bertanya lagi mengenainya kepada seorang pun selainmu.’ Baginda bersabda: Katakanlah, “Aku beriman kepada Allah, kemudian beristiqamahlah!” (Hadis riwayat Muslim)

Al-Qadhi Iyadh mengatakan bahawa, “Ini adalah salah satu (Jawami’al-Kalim) ucapan baginda Nabi saw yang ringkas tetapi padat.

Menurut Saidina Umar ibn al-Khattab radhiyallahu ‘anhu, sewaktu mendefinisikan maksud istiqamah ialah “Mereka yang beristiqamah, demi Allah dalam ketaatan kepada-Nya dan tidak bersuara dengan suara rubah. Ini bermaksud, mereka yang istiqamah adalah seimbang dari segi kuantiti ketaatan kepada Allah, baik keyakinan, ucapan mahupun perbuatan dan mereka tetap dalam keadaan demikian. Inilah makna pendapat kebanyakan ahli tafsir, dan inilah makna hadis yang dihuraikan tadi.

Sebenarnya istiqamah adalah suatu perkataan yang ringan di lidah namun amat berat untuk diterjemahkan. Ianya juga merupakan amalan yang paling sukar untuk dilakukan.

Hadis ini selaras dengan peringatan yang diberikan oleh Allah subhanahu wata’ala dalam surah Hud ayat ke-112 :

(maksudnya): “Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar sebagaimana yang diperintahkan kepada kamu.”

Menurut Imam Ibn Daqiq al-’EId ketika mensyarahkan hadis ini, beliau mendatangkan kata-kata Ibn Abbas radhiyallahu ‘anhu dengan katanya:

“Tidak pernah turun kepada Rasulullah sallallahu ‘alahi wasallam di semua al-Quran suatu ayat pun yang lebih berat baginya dibandingkan ayat ini. Ini kerana berdasarkan hadis Nabi sallallahu ‘alahi wasallam dalam sahih Tirmizi dan al-Hakim (maksudnya):

“Surah Hud dan sejawat dengannya telah membuat rambutku menjadi beruban.”

Besarnya persoalan istiqamah ini. Memang ianya sukar dipikul oleh orang yang sebarangan. Manakan tidaknya, sehinggakan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah bersabda:

“Istaqiimu walan tuhshu”

(maksudnya): Beristiqamahlah dan kamu tidak akan sampai pada hakikat istiqamah.

Itulah beratnya perkataan istiqamah. Kita sentiasa merindui gerak lenggok tangan dan seluruh tulang empat kerat kita agar sentiasa beristiqamah dalam ibu segala perbuatan kebaikan iaitu mempertahankan aqidah Islam yang bersih sehinggalah kita dipanggil oleh Allah subhanahu wata’ala.

Kita juga merindui istiqamah seperti istiqamahnya para Sahabat seperti Bilal bin Rabah yang terkenal dalam beristiqamah mempertahankan akidahnya dengan perkataan ‘Ahad’.

Begitu juga istiqamahnya Abu Talhah radhiyallahu ‘anhu dalam berjihad pada jalan Allah subhanahu wata’ala. Seperti mana kisah beliau bersama anak-anaknya yang menghalangnya daripada keluar berperang pada jalan Allah ‘azza wajalla. Sedangkan di dalam hati Abu Talhah radhiyallahu ‘anhu terdapat keinginan dan istiqamah yang tinggi yang dimiliki oleh sahabat besar itu untuk berperang dan mati syahid.

Akhirnya Abu Talhah radhiyallahu ‘anhu membacakan ayat al-Quran dari Surah al-Taubah, ayat ke-41:

(maksudnya): “Keluarlah sama ada kamu dalam keadaan ringan mahupun berat.”

Berkata anaknya, “Wahai ayahku, kamu telah berperang pada zaman Rasulullah saw, juga pada zaman Abu Bakar dan juga pada zaman Umar. Maka keluarlah Abu Talhah menyertai peperangan.

Lalu Abu Talhah keluar berperang. Dan diriwayatkan bahawa beliau tidak sempat berperang dan mati sewaktu belayar. Juga dikhabarkan, bahawa jasad Abu Talhah kekal seperti asal walaupun hampir 9 hari belum disemadikan. Kisah ini dapat kita lihat dalam al-Asas fi Tafsir karangan Syeikh Said Hawwa.

Itulah mahar yang tinggi yang dibayar oleh Abu Talhah dalam membeli nilaian syurga. Istiqamah mereka tercatat dalam sejarah.

Begitu juga istiqamahnya keluarga Yaasir iaitu Sumaiyyah, Ammar dan Yaasir. Istiqamah mereka mempertahankan aqidah dijanjikan syurga yang tidak ternilai

Sabda Nabi sallallahu ‘alahi wasallam,

“Shobran aali yaasir fainna mauídakumul jannah”

(maksudnya): “Sabarlah keluarga Yaasir, kerana sesungguhnya telah dijanjikan bagi kamu syurga Allah!”

Apapun kita mendoakan agar Allah swt menempatkan kita di kalangan hamba-hamba-Nya yang kekal beristiqamah.