
Tambah panas apabila pada petang Ahad, 20 Feb, iaitu

Rupanya Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) terus mengongkong dan memenjara kehidupan anak-anak muda dan "membudaksekolahkan" mereka, ditambah teruk lagi dengan kuasa tidak terbatas Hal Ehwal Pelajar (HEP) dalam menentukan "apa yang boleh dan tidak boleh dibuat" di kampus. Rata-rata pentadbir universiti masih memandang rendah keupayaan mahasiswa untuk mengatur aktiviti dan melangsungkan fungsi gerakan pelajar secara berkesan dan matang, sekali gus membataskan "lingkungan operasi" mereka.

Aksi-aksi protes dan gimik berani pelajar-pelajar yang tidak berpuas hati dengan peraturan pilihan raya kampus, seperti mengusung "keranda" di UPM dan membaringkan "mayat" di UM, begitu menarik untuk diperhatikan. Luahan rasa mereka tidak boleh diremehkan; ada mesej besar yang mahu disampaikan. Apatah lagi dalam suasana politik dunia yang banyak "ditakrifkan" oleh orang muda, khususnya revolusi di Tunisia dan Mesir, yang kini menjalar di negara-negara Timur Tengah lainnya.
Mahasiswa membantah -- secara kreatif -- penolakan pencalonan beberapa calon Pro-Mahasiswa, atas alasan remeh HEP, yang dilihat bermotif jahat. Apabila merasa diperbodohkan, amarah mereka tidak dapat dikawal lagi sehingga pejabat Timbalan Naib Canselor HEP pun diserbu. Itu bukan reaksi kecil. Jika universiti dan pemimpin kerajaan terus-menerus memperkecilkan potensi mahasiswa, usah terkejut apabila tercetus gelodak rasa yang boleh menyamai fenomena anak muda di Mesir dan Tunisia.
Anak muda, apatah lagi yang berkampung di kampus, sentiasa dan begitu berminat mengikuti proses pembentukan sejarah baru di Timur Tengah itu. Dengan kepesatan teknologi maklumat, khususnya melalui media sosial seperti Facebook, mereka cepat berinteraksi dan bertukar-tukar idea tentang gelombang pendemokrasian di seluruh dunia. Mungkin mereka sudahpun mempunyai hubungan dengan aktivis politik atau penggerak sosial di kalangan anak-anak muda di negara-negara bergolak itu.
Malang sekali di negara kita, HEP (dan juga pegawai kanan universiti), yang sepatutnya bebas dan adil mengendalikan pilihan raya kampus, secara terang-terangan memihak calon-calon yang cenderung kepada Umno-BN. Peraturan pilihan raya dimanipulasi dan sering diperketatkan bagi menyukarkan calon-calon pro-M. Sikap diskriminasi atau pilih kasih jelas diamalkan, membeda-bedakan kumpulan pelajar atas pertimbangan sempit politik.
Bagi saya, isu kritikal bukannya pembabitan pihak luar, terutama parti politik, untuk mempengaruhi dunia kampus. Mahasiswa sudah cukup matang untuk menentukan kecenderungan politik mereka. Yang patut dibahaskan adalah sikap sembunyi tangan orang politik yang mendalangi pentadbiran universiti sehingga timbul peraturan (dan penguatkuasaan) pilihan raya kampus yang "berat sebelah". Selain itu, hak asasi yang diiktiraf sejagat, seperti kebebasan bersuara dan berorganisasi, tidak langsung dihormati pihak universiti.
Perjalanan pilihan raya, yang

Saya tertarik dengan pandangan Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, yang dilihat konsisten mahu kongkongan Auku (membabitkan banyak seksyen 15 dan 16) dilonggarkan dan mahasiswa bebas berhubung serta terbabit dengan pihak luar termasuk parti-parti politik, tanpa perlu mendapat kebenaran Naib Canselor.

Saifuddin, semasa mengulas perkembangan terkini pilihan raya kampus, mengingatkan agar pihak berkuasa dapat meraikan hak-hak asasi pelajar. Jika hak berkenaan dinafikan, jangan pelajar pula yang dipersalahkan sekiranya mereka dilihat bertindak balas secara radikal.
Jangan mengulangi kesilapan pemimpin Umno-BN, yang mahu terus memperbudak dan memperbodohkan mahasiswa. Saya tetap konsisten, iaitu biarkan anak-anak muda di kampus melakukan eksperimen dalam proses pembelajaran yang menyeluruh. Bebaskan semua rantai belenggu yang mencengkam kreativiti mereka. Sewajarnya kami sendiri diberikan hak untuk mengendalikan pilihan raya kampus. Dan usah risau dan panik dengan kecenderungan politik anak-anak muda ini .
