TERKINI
Mail Instagram Pinterest RSS
Mega Menu
  • Anything

    These are widget areas. You can put anything you want in here.

    Mail Instagram Pinterest RSS

Kebenaran adalah kebenaran

Apabila seseorang berbicara tentang kebenaran, atau mempertahankan kebenaran maka dia hendaklah sedar bahawa dia lakukan tanggungjawab itu atas perintah Allah dan rasulNya. Tidak kerana dia mengharapkan habuan daripada manusia, atau kemasyhuran, atau kemenangan.

Kebenaran adalah kebenaran, ia tiada kaitan dengan kehendak diri sendiri atau kehendak orang lain. Justeru, insan yang jujur akan membela dan memperjuangkan kebenaran dan prinsip yang benar sekalipun terpaksa bercanggahan dengan kehendak dirinya, ataupun kehendak orang lain. Sekalipun dia menanggung rugi, atau dia ditentang oleh dunia sekelilingnya. Bak kata kata Rasulullah s.a.w:

Katakanlah kebenaran walaupun ia pahit” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban, al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Albani).

Dunia ini rosak jika manusia hanya membela kebenaran apabila dirasakan menguntungkan diri. Apabila kebenaran itu berpihak untuk dirinya atau puaknya, maka dengan lantangnya dia akan bangun menuntut kebenaran dan membelanya. Apabila kebenaran itu tidak berpihak kepada dirinya dan puaknya, maka dia akan sembunyikannya, atau mendiamkan. Bahkan lebih buruk ada memutar-mutarkan fakta dan dalil sehingga meminggirkan kebenaran apabila kebenaran itu kelihatan tidak menguntungkannya.


Golongan fanatik parti dan mazhab selalu melakukan perkara yang seperti ini. Dunia juga rosak apabila kebenaran itu dilacurkan untuk mendapatkan habuan atau keuntungan.

Untuk menjadi pejuang kebenaran kerana Allah dan rasulNya, bukanlah kerja yang mudah. Allah menguji insan untuk insan membukti keikhlasan dirinya dalam membela ajaran tuhannya. Sehingga nyata siapa yang benar tujuan dan siapa pula yang berdusta atas dakwaannya.

Banyak rintangan dan halangan. Sebabnya, kebenaran itu tidak semestinya menjanjikan kemenangan di dunia yang fana ini. Entah berapa ramai para nabi dan pejuang yang dibunuh dan dibuang, hanya kerana kebenaran.

Jika Allah memberikan kemenangan kepada kebenaran pun, bukanlah semesti setiap pejuang itu berpeluang untuk menyaksikannya. Para Nabi ada yang dibunuh tanpa sempat melihat hasil kemenangan perjuangan. Para pejuang juga demikian. Betapa ramai para pembela dan pejuang kebenaran yang disiksa mati, dibunuh tanpa alasan, dibuang tanpa simpati, dipenjara tanpa dosa dan disisih tanpa sebab.

Kebenaran akhirnya akan menang, apabila syarat dipenuhi, namun masanya tidak ketahui. Para sahabah yang gugur syahid dengan penuh trajis di peringkat Mekah seperti Yasir dan Sumayyah tidak sempat melihat kejayaan umat Islam memerintah Madinah dan menewaskan para pemimpin Quraish yang bongkak yang menyiksa mereka.

Para sahabat yang gugur dalam peperangan mempertahankan Madinah seperti Hamzah bin Abd al-Muttalib dan selainnya tidak sempat melihat kejayaan Nabi s.a.w dan umat Islam membuka Kota Mekah. Bahkan Nabi s.a.w pada hayat baginda, umat Islam belum lagi menguasai Empayar Rom dan Parsi.

Ramai pejuang terkorban ketika perit menggalas amanah perjuangan. Ramai yang pergi menemui Allah sebelum mata sempat melihat pejuangan kebenaran menjatuhkan pejuangan kebatilan. Namun para pejuang yang ikhlas itu redha kerana mereka tahu itulah harga kebenaran.

Mereka tidak berjuang untuk menang dalam bahasa yang biasa. Mereka berjuang kerana titah perintah Allah dan itulah kemenangan hakiki. Kemenangan dunia hanyalah anugerah dan hadiah daripada Allah yang akan digunakan demi kepentingan menegakkan kebenaran.
Jika kemenangan dunia tidak disaksikan di hadapan mata, bukanlah bererti perjuangan kebenaran mesti ditinggalkan. Bayaran bagi pejuangan yang tulus itu adalah keredhaan Allah sekalipun tewas dan ditindas. Allah membeli perjuangan yang benar itu dengan syurga, bukan harta dunia.

Firman Allah: (maksudnya)
Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian adalah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah dalam Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar”. (Surah al-Taubah, ayat 111).

Sesiapa yang ingin berjuang menegakkan kebenaran, menyebarkan Islam yang tulen tanpa mengenal batasan kepentingan diri, puak, parti dan manusia keseluruhan perlulah nekad menggalas bebenan tersebut dengan penuh jujur. Ia adalah amanah. Membela dan menyokong kebenaran adalah tanggungjawab yang dipersoalkan Allah pada hari Kiamat kelak.

Namun ramai orang yang tersasar kerana merasakan tujuan mereka menyokong dan menyebarkan kebenaran adalah untuk mengecapi nikmat keuntungan dunia hasil dari kemenangan atau habuan yang bakal diperolehi. Maka bukan sedikit mereka yang bergelar pejuang Islam atau organisasi Islam yang telah mengubah halatuju dan prinsip apabila dirasakan buah yang hendak dipetik belum mahu masak.

Mengubah prinsip kebenaran kerana mengharapkan sokongan pihak lain amatlah buruk. Allah mengingatkan Nabi Muhammad s.a.w ketika menghadapi cabaran yang berbagai daripada para pembesar Quraish dengan firmanNya:

(maksudnya) “Dan sesungguhnya hampir mereka dapat memesongkanmu (Wahai Muhammad) dari apa yang Kami telah wahyukan kepadamu, supaya engkau ada-adakan atas nama Kami perkara yang lainnya; dan (kalau engkau melakukan yang demikian) tentu mereka menjadikan engkau sahabat karibnya. Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sedikit cenderung kepada kehendak mereka. Jika (engkau melakukan yang) demikian, tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga semasa mati; kemudian engkau tidak beroleh seorang penolong pun terhadap hukuman kami”. (Surah al-Isra, ayat 73-75).

Atas hubungan jiwa dengan teguh dengan wahyu, seorang pejuang kebenaran yang membawa arahan Islam akan terus memapah risalah kebenaran itu di kala senang atau susah, di saat di julang atau dibuang, samada dikeji atau dipuji, samada dipuja atau dihina, samada ketika di atas atau ketika ditindas. Kalah atau menang adat perjuangan, namun kebenaran adalah kebenaran.

Allah memuji mereka yang ikhlas seperti ini dan tetap pendirian. Firman Allah: (maksudnya)

Antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun” (Surah al-Ahzab ayat 23).

Wa’allahualam.