TERKINI
Mail Instagram Pinterest RSS
Mega Menu
  • Anything

    These are widget areas. You can put anything you want in here.

    Mail Instagram Pinterest RSS

Matlamat yang khusus bagi tarbiah Islamiah

ADAPUN yang dikehendaki dengan matlamat khusus bagi tarbiah islamiah itu ialah matlamat dari aspek haraki. Matlamat tarbiah dari aspek ini bolehlah dibahagikan kepada tiga sudut iaitu sudut keahlian dan keanggotaan; sudut jamaah dan sudut kemasyarakatan dan sosial.

Matlamat dari sudut keahlian dan keanggotaan Matlamat tarbiah Islamiah dari sudut kenggotaan dan keahlian adalah untuk melahirkan:


Para anggota yang memahami atau bersedia untuk memahami Islam dan perjuangannya sebagaimana yang digariskan di bawah:

1. Ia hendaklah memahami bahawa Islam itu ialah agama yang lengkap, merangkumi seluruh bidang kehidupan manusia samada akidah dan syariat ataupun agama dan negara. Oleh kerana itu ia mestilah bersedia untuk membetulkan akidahnya, ibadahnya dan lain-lain selari dengan kehendak al-Quran, as- Sunnah, al-Ijmaí dan Qias.

2. Ia mestilah memahami bahawa al-Quran, as-Sunnah, al- Ijmaí dan Qias itu merupakan rujukan bagi setiap muslim. Pendapat sesiapa jua pun yang berlawanan dengan sumber-sumber tersebut tidak boleh dihormati dan dipatuhi malah tidak perlu dipertimbangkan langsung.

3. Manakala pendapat para pempinan yang tidak berlawanan dengan sumber-sumber tersebut hendaklah dihormati dan dipatuhi.

4. Perselisihan pendapat dalam masalah furuí adalah perkara kecil dan perlu dielakkan. Oleh itu setiap muslim yang belum mencapai martabat ijtihad hendaklah menerima dan memakai mana-mana pendapat alim ulamak yang muktabar dan janganlah menjadikannya sebagai punca perpecahan di kalangan anggota.

5. Setiap anggota mestilah faham bahawa dia tidak boleh mengkafirkan seseorang yang mengucap dua kalimah syahadah selama mana dia beramal dengan tuntutan dan kehendak dua kalimah syahadah itu dan selama mana dia tidak mengeluarkan kata-kata yang menjadikan seseorang itu terkeluar daripada Islam atau selama mana dia tidak mengingkari suatu yang dharuri atau secara mudah dan senang di dalam Islam seperti ia mengingkari haramnya riba atau haramnya arak atau seperti dia mengingkari wajibnya menjalankan syariat Islam atau selama dia tidak melakukan perbuatan yang tidak boleh ditakwil kecuali kufur seperti dia menyembah berhala atau menghina kitab suci al-Quran al- Karim.

6. Setiap anggota hendaklah jujur dan ikhlas dalam perjuangan. Perjuangannya semata-mata kerana Islam dan untuk Islam. Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” - (Al-Aníam: 162)

Dalam hal ini Nabi S.A.W ada bersabda yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” - (Hadith disepakati ramai)

Setiap anggota hendaklah bekerja dengan gigih untuk menjayakan matlamat perjuangannya. Allah taala berfirman yang bermaksud: “dan Katakanlah (Wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan Segala Yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang Yang beriman akan melihat apa Yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang mengetahui perkara-perkara Yang ghaib dan Yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa Yang kamu telah kerjakan”. - (At- Taubah: 105)

Oleh kerana itu setiap anggota mestilah menunaikan tanggungjawab(amanah) masing-masing.

Peringkat pertama hendaklah dia membetulkan dirinya supaya berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya maka penghijrahannya untuk menjadi insan yang soleh, badan yang sihat lagi kuat, cara befikiran baik, pekertinya mulia, akidahnya betul, ibadahnya sah, pandai menjaga masa, bermanfaat kepada diri sendiri dan masyarakat.

Manakala peringkat kedua ialah membentuk rumahtangga dan keluarga secara Islam. Bagi yang belum berkeluarga hendaklah memilih pasangan yang soleh seterusnya mendidik anak secara Islam.

Peringkat ketiga ialah memperbaiki masyarakat supaya menjadi sebuah masyarakat yang terlaksana di dalamnya segala ajaran dan peraturan Islam yang dipandu dan dipimpin oleh sebuah kerajaan Islam.

Dan seterusnya berusaha mengembalikan kedudukan umat Islam sebagai pimpinan dunia agar dunia kembali teratur.

Allah swt berfirman maksudnya: “Dan Allah Maha Kuasa melakukan Segala perkara Yang telah ditetapkan-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” - (Yusuf: 21)