TERKINI
Mail Instagram Pinterest RSS
Mega Menu
  • Anything

    These are widget areas. You can put anything you want in here.

    Mail Instagram Pinterest RSS

Ruang maya bagai mimpi buruk buat pemerintah


Barisan Nasional (BN) masih kekal bergelar parti pemerintah walaupun sudah lebih 50 tahun sistem demokrasi pilihan raya telah dilaksanakan sejak merdeka. Walhal, di negara-negara lain, parti pemerintah sudah bertukar ganti berkali-kali.

Kebanyakan parti pemerintah di kebanyakan negara yang ada pada masa kini pernah berada di kerusi pembangkang. Tetapi, nasib itu tidak terjadi kepada BN yang berterusan berkuasa lantas mengkonstruksi hegemoni dalam politik Malaysia.

Sejak akhir-akhir ini, kemajuan dan perkembangan teknologi maklumat serta komunikasi telah mengubah lanskap politik banyak negara di dunia. Beberapa rejim dan penguasa tua telah dijatuhkan hasil gerakan massa yang dikenalpasti sebagai akibat mobilisasi politik di ruang maya.

Kita semua pasti bersetuju bahawa ruang maya dengan politik di ruang nyata sangat hubungan rapat, saling bergantung, serta berkesalingan. Masing-masing pemimpin menerangkan tindakan mengawal atau mengganggu dan mengguna ruang tersebut demi mempertahankan kelangsungan sesebuah parti sebagai pemerintah. Melihat kepada pemerintah Iran yang memberikan alasan biasa iaitu “keselamatan negara” demi mengabsahkan tindakan pemerintah yang mengawal ketat ruang maya. Tindakan kawalan dilakukan sejurus kemunculan Revolusi Hijau yang dilakukan tanpa keganasan. Kemunculannya akibat daripada rakyat Iran yang yakin telah berlaku penipuan semasa Pilihan Raya Presiden pada Jun 2009. Sebagaimana kebanyakan negara-negara pengamal autokrasi, pemerintah Iran mengawal ketat bahkan mencegah media konvensional seperti akhbar bercetak, radio dan televisyen daripada membuat liputan ke atas peristiwa itu.

Di Malaysia juga tidak kurang hebatnya, bagi saya hubungan berkesalingan ruang maya dengan politik Malaysia di ruang nyata bermula selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada semua jawatan parti dan politik. Rakyat Malaysia juga tidak pernah menikmati kebebasan bersuara seperti rakyat di United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Kebebasan bersuara sebagai suatu konsep politik di Malaysia diperkenalkan oleh bekas penjajah British dan mereka juga bertanggungjawab memperkenalkan peruntukan undang-undang yang membataskan kebebasan tersebut.

Selepas merdeka, atas alasan dan justifikasi mencegah ketegangan kaum pemerintah Malaysia telah meningkatkan cengkaman menerusi undang-undang apabila memperkenalkan pelbagai akta seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (1960), Akta Rahsia Rasmi (1972), Akta Hasutan (1948), Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (1984) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (1971).

Disebabkan terhadnya peluang politik di ruang nyata, ia menyebabkan para reformis memilih untuk memanipulasi ruang nyata yang tidak dikongkong. Kebelakangan ini lanskap politik di Timur Tengah disamakan oleh parti pembangkang dengan keadaan politik negara dan ini tidak disenangi oleh BN sehingga menyebabkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim mengugut untuk menggunakan peruntukan undang-undang yang sedia ada bagi mendakwa pihak pembangkang.

Menurut Rais lagi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Polis DiRaja Malaysia dan agensi yang berkaitan akan memantau laman sosial Facebook, sistem pesanan ringkas dan media alternatif yang lain (Berita Harian, 6 Mac 2011). Menteri Dalam Negeri pula, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula menjelaskan pemerintah boleh bertindak menurut peruntukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) (Berita Harian, 6 Mac 2011).

Sebelum itu, dalam persidangan Dewan Negara 3 Ogos 2010, Rais menegaskan kesemua jenis kandungan di ruang maya adalah tertakluk kepada empat akta iaitu Akta Hasutan (1948), Kanun Keseksaan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (1960) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Utusan Melayu, 8 Mac 2011).

Baru-baru ini kita mula di perkenalkan pula dengan Seksyen 114A, “Andaian Fakta dalam Penerbitan”, merupakan pindaan terbaru terhadap Akta Keterangan 1950. Pindaan tersebut yang diluluskan Dewan Rakyat tanpa didebatkan terlebih dahulu pada 18 April 2012 dan melalui Dewan Negara pada 9 Mei 2012.

Seksyen 114A, yang boleh diguna pakai dalam kes jenayah dan juga sivil, mengandaikan bahawa pemilik, pengendali, hos, editor, pelanggan sesebuah rangkaian atau laman web, atau pemilik komputer atau peralatan mudah alih dianggap bertanggungjawab menyiarkan atau mengulangsiarkan isi kandungan yang terdapat pada rangkaian, laman web atau peralatan terbabit.

Pelaksanaan Seksyen 114A mempunyai kesan yang luas terhadap setiap pengguna Internet yang meliputi pelbagai platform seperti emel dan media sosial. Pindaan ini awal-awal lagi telah meletakkan kesalahan ke atas individu yang memiliki laman web atau peralatan yang mana kenyataan atau isi kandungan berunsur hasutan tersiar.

Di bawah Seksyen 114A, individu atau organisasi yang mengendali, menyelia atau menyediakan ruang untuk forum, blog atau perkhidmatan pengehosan web adalah bertanggungjawab terhadap segala kandungan yang terdapat dalam perkhidmatan terbabit.

Mereka juga bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan oleh pihak lain yang menyamar menggunakan identiti mereka di Internet. Hasilnya, Seksyen ini mengancam kebebasan bersuara di Internet, serta mengancam prinsip asas keadilan, demokrasi dan hak asasi manusia.

Pelbagai usaha yang dilakukan oleh parti pemerintah untuk memastikan mereka terus berkuasa. Setelah lebih 15 tahun pertapakan ruang maya di Malaysia, dan rakyat sudah mula menjadikan ruang maya sebagai sumber maklumat dan melontarkan pandangan untuk kebaikan negara tetapi hari ini ruang itu mula di sekat.

Seksyen 114A mengundang kemarahan majority rakyat kepada pemerintah di sebabkan hanya ruang maya sahaja dapat di gunakan untuk rakyat bersuara selain demontrasi yang sering di sembur gas pemedih mata dan dihujani bom asap. Namun, “ganggu” didapati bukan lagi tren terkini dalam pengurusan ruang maya.

Justeru, memfokus kepada “guna” menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, fokus dijangkakan bakal membawa faedah besar kepada parti pemerintah. Oleh itu, ruang maya boleh dikenalpasti sebagai peluang dan bukan ancaman. Rakyat mahukan pemerintah di kalangan pemberani.