TERKINI
Mail Instagram Pinterest RSS
Mega Menu
  • Anything

    These are widget areas. You can put anything you want in here.

    Mail Instagram Pinterest RSS

Badar Kubra: Titik Tolak Umat

Ramadhan Mubarak merupakan bulan yang disambut setiap tahun oleh semua umat Islam. Allah menyediakan bermacam bentuk kurniaan dan hadiah kepada hamba-Nya, untuk diberikan kepada sesiapa yang berpuasa, mendirikan malam dengan sepenuh keimanan dan mengharapkan pahala.
Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, diampunkan dosanya yang telah lalu – hadith
Kemuliaan bulan Ramadhan diraikan dengan meriah sejak zaman Rasulullah s.a.w. Para salafussoleh telah berdoa selama 6 bulan untuk disampaikan padanya bulan Ramadhan, dan berdoa selama 6 bulan selepas itu untuk diterima amalannya di bulan Ramadhan. Ia menunjukkan betapa tingginya martabat bulan ini di sisi mereka.

Peperangan di Bulan Sabar

Peristiwa-peristiwa besar yang berlaku dalam sejarah umat Islam banyak tercatat pada bulan yang mulia ini. Ia bermula dengan Badar Kubra, kemudian penggalian parit sebelum perang Khandaq (Ahzab), diikuti dengan Fathu Makkah, pembukaan kota Andalus, dan banyak lagi peristiwa-peristiwa yang telah melakar sejarah umat telah berlaku pada bulan ini.

Bagi umat kini, Ramadhan adalah bulan tarbiyyah yang akan membantu mereka memperbaiki diri, mengkoreksi segala kecuaian dan kesalahan, serta memuhasabah diri sebagai seorang hamba Allah dan khalifah-Nya yang sejati. Tetapi bagi umat terdahulu, Ramadhan adalah bulan tarbiyyah yang mentarbiyah diri dan melakar kemenangan umat. Ini kerana peperangan adalah satu tarbiyyah yang paling berkesan, dari segi individu dan kesinambungan risalah Islam.

Badar titik tolak kegemilangan umat

Perang Badar Kubra yang berlaku pada 17 Ramadhan tahun kedua hijrah, telah menjadi satu titik transisi umat Islam, daripada kehinaan kepada kegemilangan. Titik permulaan yang menjadi qudwah dan contoh umat sepanjang zaman untuk dicontohi generasi yang akan datang. Titik permulaan yang menetapkan pertimbangan umat Islam pada kayu ukur yang betul dan tepat.

Ia sebagai suatu permulaan kepada sebuah kisah tamadun kemanusiaan agung yang tidak pernah didahului keagungannya oleh tamadun-tamadun sebelumnya. Ia adalah titik penentu kesinambungan risalah Islam ini ke seluruh pelusuk dunia, hinggakan Rasulullah s.a.w berdoa ;
“Ya Allah sekiranya golongan (tentera muslimin) ini kalah, sudah pasti Engkau tidak akan disembah selepas ini selama-lamanya”
Penghayatan terhadap Badar Kubra ini akan mampu mengembalikan umat Islam yang mundur kini kepada kegemilangannya yang silam.

Badar perbetul kayu ukur umat

Ketika Rasulullah s.a.w dan para sahabat bertolak ke Badar, mereka hanya berjumlah 313 orang, termasuk dua tentera berkuda. Ini kerana mereka menyangka mereka akan menyekat kafilah dagangan Abu Sufyan dari Syam. Tetapi Allah lebih mengetahui apa yang lebih baik untuk hamba-Nya, dan perancangan Allah mengatasi segalanya. Abu Jahal telah mempersiapkan tenteranya seramai di antara 900 ke 1000 orang tentera untuk bertemu dengan tentera muslimin.
“ .. dan Allah mahu memenangkan kebenaran dengan kalimah-Nya, dan memotong akar umbi orang kafir, untuk Allah membenarkan kebenaran dan mengalahkan kebatilan walaupun orang-orang yang berdosa membencinya” – Surah Al-Anfal
Setelah bertempur lebih kurang dua jam, kemenangan berpihak kepada tentera muslimin dengan bantuan daripada Allah. Kisah yang agung ini juga pernah berlaku kepada tentera Talut, pada zaman Daud a.s. Kisah yang membetulkan kayu ukur umat Islam.
“.. telah berkata orang-orang yang berharap mereka akan bertemu Allah (dari tentera Talut) ; berapa banyak tentera yang sikit bilangannya telah memenangi tentera yang lebih ramai dengan izin Allah ? Dan Allah itu bersama-sama orang yang sabar” – Surah Al-Baqarah
Ia memberitahu kita bahawa ukuran kemenangan bukanlah pada bilangan yang ramai, tetapi pada kekuatan iman dan kebenaran risalah. Tentera Islam menang kerana iman mereka dan pergantungan mereka kepada Allah, bukan semata-mata kekuatan kebendaan. Bahkan setiap kemenangan Islam dalam sejarahnya, bilangan tenteranya pasti lebih sedikit daripada bilangan tentera lawan.

Iman yang komprehensif

Umat Islam yang kekurangan peralatan dan persediaan telah memenangi peperangan dengan izin Allah, tetapi iman mereka tidak menjadikan diri mereka berserah diri segalanya pada takdir. Tidak sama sekali, tetapi mereka berhempas pulas dan berusaha sepenuh tenaga untuk menggarap kemenangan tersebut.
“Bukanlah kamu (sebenarnya) yang melempar ketika kamu melempar, tetapi sebenarnya Allah yang melempar, dan ia adalah untuk menguji orang mukminin suatu ujian yang baik, dan sesungguhnya Allah bersama orang mukminin” – Surah Al-Anfal
Sekiranya mereka tak memulakan usaha, sudah pasti tiadalah pertolongan Allah itu yang datang. Kefahaman mereka terhadap iman itu benar, akhirnya menjadikan iman itu sebagai suatu daya tolak yang komprehensif. Menolak mereka untuk mencari segala faktor kemenangan. Ia adalah suatu rahsia yang terkandung dalam surah Al-Ankabut ;
“Dan sesiapa yang berusaha bersungguh-sungguh di jalan Kami, maka Kami pasti akan menunjukkan padanya jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah bersama orang yang melakukan kebaikan”
Ia adalah suatu bentuk keterikatan antara usaha manusia dan pertolongan Allah. Ia bukan sekadar berserah pada takdir Allah dan tidak melakukan sebarang usaha dan kesungguhan daripada manusia. Bahkan ia adalah suatu usaha yang tidak mengenal sebarang putus asa dan sikap malas.

Bukankah agama ini untuk manusia, kerana manusia dan dibangkitkan dengan usaha manusia itu sendiri ?

Antara Iman dan Dunia

Surah Al-Anfal merupakan surah yang khusus diturunkan untuk perang Badar. Surah yang menceritakan perjalanan perang Badar dari mula hingga penghujung kisah. Dari persediaan muslimin hingga ke pengagihan harta rampasan dan urusan tawanan perang.

Allah telah memulakan surah ini dengan suatu tempelakan yang tegas kepada mukminin. Ketika pengagihan harta rampasan perang, orang mukminin berselisih terhadap golongan yang patut menerima lebih banyak harta dan siapa yang patut menerima lebih sedikit. Allah lantas memberi jawapan ringkas dan tegas menyelesaikan perselisihan mereka ;
“Mereka bertanya kepadamu mengenai harta rampasan perang, katakanlah : Harta rampasan itu adalah untuk Allah dan Rasul-Nya (bukan urusan kamu yang membincangkan pengagihannya), maka takutlah kamu pada Allah dan perbaikilah hubungan sesama kamu, dan patuhilah Allah dan Rasul-Nya sekiranya kamu orang yang beriman” – Al-Anfal
Walaupun tentera Islam telah menang dalam perang Badar dan telah mengharungi tarbiyyah yang kental sehingga dikurniakan keampunan dosa yang telah lalu dan yang akan datang, namun sisa kecintaan terhadap dunia masih ada dalam jiwa sesetengah para sahabat.

Allah sangat mengetahui kebahayaan ciri-ciri ini lantas menempelak mereka dengan jawapan yang tegas, dan meletakkannya pada ayat pertama surah Al-Anfal, agar dapat menutup segala pintu-pintu kecintaan kepada dunia. Ini kerana kecintaan kepada dunia boleh membawa kita kepada bala bencana dan malapetaka yang dahsyat, lebih-lebih lagi kepada pembawa risalah.

Peristiwa Uhud telah merakamkan kebahayaan isu ini, lantas ia mengajar umat seribu satu pengajaran. Dengan Uhudlah, umat Islam mampu memenangi siri-siri peperangan yang mendatang, seperti Khandaq, Tabuk, Hunain, Fathu Makkah dan sebagainya.

Kesimpulan

Sejarah umat Islam terdahulu banyak mengajar kita sunnah alam yang berlaku. Ia akan sentiasa berulang, mahu ataupun tidak. Perkara seperti perang Badar adalah ulangan kepada Talut dan Jalut secara tak langsung. Sudah pasti peristiwa agung ini akan berulang sehingga hari Kiamat. Benarlah kata-kata Allah ;
“Dan itulah hari-hari yang akan kami pergilirkannya di kalangan manusia, agar Allah mengetahui siapakah yang benar-benar beriman dan Dia akan mengambil daripada mereka sebagai saksi (syuhada’), dan Allah tidak sukakan orang yang zalim” – Surah Ali Imran
Dengan sebab inilah kita kaji sejarah, agar kita boleh selamat dan mengambil pengajaran daripadanya. Allah memberikan kita seribu satu kisah untuk dipelajari dan diteladani, khusus untuk umat akhir zaman, daripada kisah-kisah umat terdahulu. Persoalannya, adakah kita akan terus meningkatkan iman atau kita tidak mengendahkan putaran roda yang azali itu?